34 MRSM diarah laksana PDPR, 2,724 pelajar dijangkiti influenza

34 MRSM diarah laksana PDPR, 2,724 pelajar dijangkiti influenza

MRSM
ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 34 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) susulan peningkatan kes jangkitan influenza dalam kalangan pelajarnya.

Memetik laporan media tempatan, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setakat ini, seramai 2,724 pelajar MRSM di seluruh negara dikenal pasti dijangkiti virus berkenaan.

Katanya, langkah proaktif itu diambil selepas setiap MRSM terbabit mencatatkan lebih 50 kes jangkitan sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kesihatan dan keselamatan pelajar di asrama.

“Sejak penularan kes dikesan, pengurusan Mara telah mengarahkan semua pengetua MRSM mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.

“Langkah yang diambil termasuk memberikan rawatan segera kepada pelajar bergejala di klinik kesihatan atau hospital, mengasingkan pelajar yang sakit daripada yang sihat serta memastikan pemakaian pelitup muka sepanjang masa,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, Mara turut menekankan aspek pencegahan dan kebersihan dengan memastikan pelajar dibekalkan air masak mencukupi, menangguhkan semua aktiviti luar buat sementara waktu serta menjalin kerjasama rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mendapatkan nasihat dan pemantauan lanjut.

“Keutamaan utama Mara ialah kebajikan serta keselamatan semua warga maktab. Justeru, langkah pencegahan sedang dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang penularan jangkitan ini,” katanya.

Terdahulu, Asyraf Wajdi berkata, mana-mana MRSM yang merekodkan lebih 50 kes influenza dibenarkan menghantar pelajar pulang dan melaksanakan kelas secara PDPR bagi memutuskan rantaian jangkitan serta memberi ruang kepada proses nyahkuman dan sanitasi.

Beliau turut menyeru orang ramai mendoakan agar semua pelajar MRSM dan institusi berasrama lain di seluruh negara kembali pulih sepenuhnya daripada jangkitan influenza.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan mendedahkan, sebanyak 97 kluster jangkitan Influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, meningkat ketara berbanding 14 kluster pada minggu sebelumnya.

Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan kluster tertinggi iaitu 43 kluster, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9) dan Kedah (5).

Majoriti kluster dilaporkan berlaku di sekolah menengah (32 kluster), sekolah rendah (26), tadika (15) dan sekolah swasta (9). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN