GEORGE TOWN : Situasi semasa jangkitan influenza di Pulau Pinang dilaporkan berada dalam keadaan terkawal walaupun berlaku sedikit peningkatan kes.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, ketika ini, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) masih menjalankan pemantauan berterusan melalui survelan di klinik-klinik sentinel di seluruh negeri.
Katanya, walaupun influenza bukan penyakit wajib lapor di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], pengawasan tetap dijalankan bagi memastikan sebarang trend penularan dapat dikenal pasti dengan segera.
“Analisis terkini menunjukkan trend aktiviti Survelan Influenza Like Illness (ILI) berasaskan klinikal dari Minggu Epid (ME) 32 hingga ME 37 tahun ini berada pada kadar antara 9.5 hingga 10.5 peratus tanpa peningkatan ketara.
“Bagi survelan ILI berasaskan makmal pula, kadar positif mencatat sedikit peningkatan iaitu antara 26.7 hingga 28.9 peratus dengan Influenza A kekal sebagai strain dominan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Daniel, kadar positif itu bagaimanapun masih lebih rendah berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang merekodkan antara 35.6 hingga 51.1 peratus.
“Selain itu, jumlah kluster jangkitan saluran pernafasan yang dilaporkan di negeri ini juga didapati menurun sebanyak 52.4 peratus berbanding tahun lalu.
“Walaupun keadaan terkawal, pola peningkatan kes influenza lazimnya konsisten menjelang penghujung tahun seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Daniel menasihatkan orang ramai agar terus mengamalkan langkah pencegahan termasuk mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan serta mempraktikkan etika batuk yang baik.
“Individu yang bergejala atau berisiko tinggi juga digalakkan memakai pelitup muka manakala warga emas berumur 60 tahun ke atas dengan penyakit komorbid boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan.
“Pada masa yang sama, mereka yang mengalami gejala berpanjangan atau semakin teruk disaran agar segera mendapatkan pemeriksaan serta rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.-UTUSAN










