Kerajaan bakal kawal percantuman syarikat, elak monopoli tekan pengguna

Kerajaan bakal kawal percantuman syarikat, elak monopoli tekan pengguna

ARMIZAN Mohd. Ali menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara MyCC dengan Suruhanjaya Persaingan Filipina di Petaling Jaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan sedang memuktamadkan polisi kawal selia penyusunan semula atau percantuman syarikat bagi mengelakkan monopoli pasaran dan memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, percantuman syarikat perlu dipantau kerana ia boleh mewujudkan penguasaan pasaran yang memberi kesan kepada persaingan.

Menurut beliau, pindaan Akta Persaingan 2010 akan memberi lebih kuasa kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menilai percantuman sebelum ia menyebabkan dominasi pasaran.

“Kita terbuka kepada percantuman syarikat, tetapi ia mesti berlaku secara sihat dan tidak menekan pengguna.

“Jika percantuman itu membawa kepada monopoli dan harga meningkat, kerajaan akan campur tangan,” katanya ketika merasmikan MyCC Competition Summit 2025 di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata, kawal selia percantuman syarikat penting bagi mengelakkan situasi di mana pengguna kekurangan pilihan dan bergantung pada satu syarikat atau satu kumpulan pasaran.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha itu juga selari dengan agenda kerajaan untuk memastikan persaingan sihat dalam pasaran dan mengelakkan syarikat besar menguasai sesuatu sektor tanpa pengawasan.

“Persaingan yang baik membuka lebih banyak peluang kepada syarikat, bukan menutupnya,” katanya.

Pada persidangan itu, MyCC turut memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU), masing-masing dengan Suruhanjaya Persaingan Filipina dan SME Corporation Malaysia bagi kerjasama dalam advokasi dasar, latihan serta penyelidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN