PADA 18 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
Perdana Menteri berkata, kerajaan Madani menitikberatkan soal pendapatan rakyat. Penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.
Kenaikan gaji minimum ini adalah sebahagian daripada strategi ekonomi yang seimbang, dengan fokus ke arah pertumbuhan mampan serta pengurangan jurang pendapatan antara golongan berpendapatan rendah dan tinggi.
Pengumuman ini telah menerima pelbagai reaksi positif daripada pemimpin kesatuan sekerja, seperti Naib Presiden UNI-MLC Sarawak dan Sabah, Mohamad Ibrahim Hamid, yang menyatakan ia sangat bersesuaian dengan situasi semasa.
Bagaimanapun, beberapa kebimbangan timbul, terutamanya dari kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti yang diutarakan oleh Presiden Samenta, Datuk William Ng, yang menyuarakan kebimbangan bahawa kenaikan ini mungkin memberi impak kepada operasi mereka.
Kerajaan, dalam menangani perkara ini, telah memberikan kebenaran untuk menangguhkan pelaksanaan kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja selama enam bulan sehingga 1 Ogos 2025. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap cabaran yang dihadapi oleh PKS serta memastikan mereka diberikan masa yang mencukupi untuk menyesuaikan diri.
Walaupun terdapat cadangan daripada pihak seperti Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang mengusulkan kadar gaji minimum RM2,102 berdasarkan kos sara hidup, pendapatan garis kemiskinan, dan produktiviti, keputusan ini adalah paling seimbang boleh dilakukan dengan disertai tekad politik yang menuntut keberanian serta kebijaksanaan.
Seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Peluncuran Residensi Madani Putrajaya pada 28 Oktober lalu, ini dikatakan tekad politik, tidak semua orang akan senang dan bersetuju dengan kenaikan kadar gaji minimum ini tetapi inilah cabaran pimpinan.
Kadar baharu ini telah disepakati secara sebulat suara dalam Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) oleh wakil majikan, pekerja, dan kerajaan, memastikan kebajikan pekerja di seluruh negara terjamin tanpa perbezaan mengikut wilayah, sebab itu tiada bangkangan diterima.
Kenaikan gaji minimum ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kuasa beli rakyat tetapi juga merancakkan ekonomi melalui peningkatan perbelanjaan domestik. Para peniaga turut akan menerima manfaat apabila rakyat mempunyai kuasa beli yang lebih besar, mencetuskan rangsangan ekonomi yang positif di semua peringkat.
Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) yang merangkumi pekerja tempatan dan bukan warganegara dalam sektor swasta, kecuali pekerja domestik dan perantisan, juga selaras dengan amalan antarabangsa, memperlihatkan komitmen Malaysia terhadap standard buruh global yang adil.
Apa yang menjadi cabaran ialah bagi memastikan semua pihak melaksanakannya. Inilah yang diseru oleh Perdana Menteri supaya semua pihak memberikan kerjasama dalam pelaksanaan gaji minimum ini.
Sebab itu pada 29 Oktober lalu, Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada pengerusi, ahli lembaga pengarah (ALP) dan pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana bersetuju untuk menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama menyahut seruan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum kepada pekerjanya menjadi RM1,700.
Sebelum itu, pada 3 September lalu, Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Khazanah Nasional memuji langkah Khazanah Nasional Berhad menetapkan gaji minimum RM3,000 sebulan untuk pekerjanya dan berharap syarikat swasta lain mencontohinya.
Sehubungan itu, dengan seruan Perdana Menteri ini diharapkan lebih banyak GLC, syarikat multinasional (MNC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat swasta lain bergerak ke depan menunjukkan contoh merealisasikan penetapan gaji minimum ini.
Sebarang pelanggaran ke atas PGM juga boleh dilaporkan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah (JTK Sabah) serta Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK Sarawak) di mana majikan yang gagal mematuhi PGM boleh dikenakan tindakan penalti antara RM1,000 hingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.
Kebimbangan lain ialah kenaikan gaji minimum akan disertai kenaikan harga barang dan menaikkan kadar inflasi. Begitupun, perkara ini telah dijelaskan oleh pakar ekonomi, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid, yang berkata hal ini tidak akan berlaku.
Ini kerana inflasi pada masa ini adalah berpunca lebih daripada tarikan permintaan hasil daripada pemulihan ekonomi global berbanding daripada tolakan kos yang mungkin disebabkan oleh kenaikan gaji manakala inflasi domestik banyak dipengaruhi oleh turun naik kadar tukaran ringgit yang kini semakin mengukuh.
Masa sama, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga semestinya bersiap sedia menggerakkan pasukan pemantau untuk pastikan peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya dengan mengenakan tindakan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap kenaikan yang tidak wajar.
Baru-baru ini, Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar, berkata, notis telah dikeluarkan kepada pengusaha sebuah kopitiam di Batu Berendam, Melaka, pada 22 Oktober lalu di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana menaikkan harga minuman sebanyak tiga kali sehingga 70 peratus peningkatan dalam tempoh kurang setahun. Tindakan begini akan menakutkan peniaga.
Kenaikan gaji minimum sebanyak RM200 ini adalah manifestasi tekad politik Perdana Menteri untuk memajukan kesejahteraan rakyat, sejajar dengan aspirasi Madani. Berbeza dengan peningkatan gaji minimum sebanyak RM50 yang diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 6 September 2018 yang berdepan bantahan meluas masyarakat waktu itu, kenaikan kali ini membawa visi jelas dan diterima baik oleh masyarakat. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Ghazali Shafie Executive Enhancement Programme (GSEEP), Ghazali Shafie Graduate School of. Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).










