PETALING JAYA: Kenaikan harga barang susulan lonjakan harga diesel berpotensi memperlahankan momentum pertumbuhan ekonomi domestik sekiranya isu tidak ditangani secara berkesan.
Timbalan Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Noorman Kamsani berkata, tekanan inflasi akibat kenaikan kos bahan api memberi impak paling besar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Katanya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut berdepan cabaran untuk mengekalkan kelangsungan operasi.
“Dengan margin keuntungan terhad, sebarang kenaikan kos bahan api boleh menjejaskan daya tahan perniagaan.
“Malah, sebahagian pengusaha mungkin terpaksa mengurangkan operasi atau menanggung kerugian. Kesan rantaian daripada kenaikan diesel turut melibatkan sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noorman, diesel bukan sekadar komponen kos pengangkutan, tetapi memberi kesan menyeluruh terhadap harga barangan dan kestabilan rantaian bekalan.
“Apabila kos pengangkutan meningkat, harga barangan keperluan harian termasuk makanan, bahan binaan dan produk pengguna turut meningkat, sekali gus membebankan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan mempercepatkan pelaburan dalam sistem pengangkutan awam serta memperkasakan penggunaan teknologi hijau dan tenaga alternatif seperti kenderaan elektrik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap diesel.
Beliau berkata, pelaksanaan subsidi bersasar wajar memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti petani, nelayan dan pengusaha logistik.
Katanya, pemantauan ketat terhadap aktiviti pencatutan harga juga perlu diperhebatkan bagi melindungi pengguna.
“Cabaran ini bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata. Rakyat perlu mengamalkan gaya hidup berhemah, merancang perbelanjaan secara bijak serta menyokong produk tempatan.
“Amalan berkongsi kenderaan juga dapat mengurangkan tekanan kos dalam jangka panjang,” katanya.
Tambah beliau, kenaikan harga diesel menuntut pendekatan holistik dan kerjasama semua pihak. Dengan dasar tepat, pemantauan berkesan serta kesedaran rakyat, cabaran ini boleh dijadikan peluang untuk membina ekonomi yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan. – UTUSAN










