Keputusan mahkamah terhadap hak Sabah perlu dilaksanakan - Utusan Malaysia

Keputusan mahkamah terhadap hak Sabah perlu dilaksanakan

KOMPLEKS MAHKAMAH KOTA KINABALU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengisytiharkan Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa berhubung 40 peratus hasil Sabah perlu dihormati dengan menunaikan segala hak negeri tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, keputusan mahkamah menegaskan bahawa hak Sabah bukan janji politik sebaliknya kewajipan yang mesti dipenuhi secara jujur, telus, dan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Menurutnya, keputusan itu menekankan jaminan hak Sabah seperti termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah detik penting, bukan sahaja untuk golongan peguam tetapi untuk setiap rakyat Sabah yang percaya pada keadilan, perkongsian, dan menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Melangkah ke hadapan, adalah harapan saya keputusan ini membuka lembaran baharu antara Sabah dan Putrajaya dalam semangat hormat-menghormati dan dialog membina, dipandu semangat perpaduan yang membina Persekutuan kita ini,” katanya dalam kenyataan.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan selama hampir lima dekad.

Kes tersebut dimulakan oleh Sabah Law Society (SLS) pada Jun 2022, apabila badan itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kegagalan kerajaan Persekutuan menegakkan hak hasil Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Nelson Wences Angang berkata, keputusan itu harus menjadi isyarat jelas kepada Putrajaya untuk menunaikan kewajipan kepada Sabah.

“Keputusan ini merupakan detik bersejarah dalam perjuangan menuntut pelaksanaan sebenar MA63.

“Kami turut menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menghormati keputusan tersebut tanpa rayuan serta menjalankan rundingan secara telus dan adil demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN