PETALING JAYA: Kenaikan kadar bayaran konsultasi pengamal perubatan am (GP) antara RM10 hingga RM80 tidak membebankan rakyat, sebaliknya memberi galakan kepada doktor untuk menawarkan perkhidmatan lebih efisien dan bertanggungjawab.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan masih menekankan kepentingan rakyat dengan mengekalkan harga lantai pada RM10, manakala harga siling dinaikkan daripada RM35 kepada RM80.
“Pengekalan harga lantai RM10 adalah satu kelegaan besar kepada pesakit yang datang mendapatkan nasihat dan rawatan bagi pelbagai jenis kes.
“Sekiranya pengamal perubatan menghabiskan 10 minit atau 40 minit, sudah tentu kadar bayaran berbeza terutama jika rawatan melibatkan ujian kesihatan untuk menilai status pesakit,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2025 di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya, hari ini.
Beliau mengulas kebimbangan orang ramai mengenai kenaikan kadar fi perundingan pengamal perubatan am daripada RM10 hingga RM35 kepada RM10 hingga RM80 dalam Belanjawan 2026.
Dr. Dzulkefly berkata, kadar fi yang ditetapkan memberi insentif kepada doktor perubatan am untuk meluangkan lebih masa dalam menilai keadaan pesakit.
“Jika rawatan sekadar untuk batuk atau selsema, cajnya berbeza berbanding pesakit dengan penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi yang memerlukan ujian air kencing dan pemeriksaan lain.
“Ini secara tidak langsung menggalakkan doktor untuk lebih teliti dan bertanggungjawab dalam memberikan penilaian,” katanya.
Beliau berkata, setiap polisi melibatkan kos sememangnya mempunyai dua sisi, namun bagi pesakit yang tidak menggunakan insurans, pembayaran secara tunai mungkin menyukarkan mereka.
Bagaimanapun, doktor perubatan am adalah tulang belakang sistem penjagaan kesihatan dan peningkatan kadar fi memberi ruang untuk mereka memberikan perhatian lebih kepada pesakit.
“Peningkatan kadar ini membolehkan doktor meluangkan lebih masa sesuai dengan bayaran yang dikenakan. Rakyat tidak akan keberatan membayar lebih jika perkhidmatan yang diterima setimpal dengan kos.
“Doktor yang prihatin akan memastikan pesakit mendapat rawatan sewajarnya, manakala pesakit yang tidak berpuas hati mungkin memilih untuk tidak kembali,” katanya. – UTUSAN










