KUALA LUMPUR: Kadar kebolehpasaran graduan Kolej Profesional Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (KPMAIWP) mencatat peningkatan ketara kepada 87 peratus tahun ini, berbanding 80 peratus pada 2023, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pendidikan holistik yang diterapkan kolej berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif KPMAIWP, Prof. Dr. Firdaus Low Abdullah berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan institusi tersebut dalam melahirkan graduan berkualiti, khususnya dalam kalangan pelajar asnaf.
“Kita bukan sekadar membantu mereka mendapatkan pekerjaan, tetapi turut menyediakan laluan akademik yang tersusun supaya pelajar dapat melangkah ke peringkat lebih tinggi,” katanya pada Majlis Serahan Sumbangan Pendidikan anjuran AG Nutrition Foundation di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Islamic Services & Lifestyle Ikhlas.com, Imran Ismail; Pengasas AG Nutrition, Hafiz Salleh dan Faiz Salleh; serta Pengerusi AG Nutrition International, Datuk Iskandar Halim Sulaiman.
Turut hadir, Pengurus Besar Islamic Services & Lifestyle Ikhlas.com, Imran Ismail; Pengasas AG Nutrition, Hafiz Salleh; Pengerusi AG Nutrition International, Datuk Iskandar Halim Sulaiman dan Pengasas AG Nutrition, Faiz Salleh.
Sejak ditubuhkan 33 tahun lalu, KPMAIWP berkembang pesat dengan menawarkan program sijil, diploma dan kemahiran di bawah Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) meliputi bidang fesyen, seni kreatif, kulinari, perakaunan dan elektrikal. Kini, kolej itu menempatkan lebih 2,100 pelajar, dengan 85 peratus daripadanya terdiri daripada golongan asnaf.
Firdaus berkata, antara langkah memperkukuh kebolehpasaran graduan ialah jalinan strategik bersama FamilyMart Malaysia, yang menawarkan 4,610 peluang pekerjaan kepada graduan muda berusia antara 20 hingga 26 tahun.
“Pelajar tahun akhir turut berpeluang mengikuti Program CGL Peruncitan selama tiga bulan yang dibiayai sepenuhnya sebelum diserap bekerja di rangkaian tersebut,” katanya.
KPMAIWP yang dikenali di peringkat antarabangsa selepas menerima pelajar dari Kemboja, Azerbaijan dan Indonesia menerusi program pertukaran dan biasiswa penuh tajaan MAIWP.
“Setakat ini, kami mempunyai 21 pelajar dari Kemboja dan tujuh dari Azerbaijan, dan bakal menerima sembilan lagi pelajar baharu tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN










