KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan supaya tidak sekali-kali leka kerana ancaman keganasan dan ekstremisme sentiasa berubah dan tidak akan berakhir.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, landskap ancaman kini jauh berbeza berbanding sebelum ini apabila kumpulan militan tidak lagi bergantung merekrut secara fizikal, sebaliknya menggunakan platform dalam talian untuk mempengaruhi golongan muda.
Justeru, pegawai dan anggota E8 serta bahagian berkaitan perlu sentiasa berada selangkah di hadapan bagi memastikan sebarang ancaman dapat dikesan lebih awal.
“Kalau kita pasif dan hanya bertindak secara reaktif, bukan proaktif, serangan boleh berlaku di Malaysia. Sebab itu Bahagian E8 dan bahagian lain tidak boleh leka.
“Kalau berlaku serangan, itu sudah menjadi kegagalan risikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Buku Autobiografi buku autobiografinya, Dari Pendang ke Bukit Aman, hari ini.
Menurutnya, pendekatan kumpulan ekstremis kini lebih sukar dikesan kerana mereka mengeksploitasi pelbagai medium digital termasuk permainan dalam talian bagi merekrut individu baharu.
“Sekarang semuanya dilakukan secara dalam talian. Mereka menggunakan permainan seperti Roblox dan pelbagai platform lain sebagai medium untuk berhubung serta merekrut individu.
“Dari situ mereka berhubung dan melakukan rekrutmen. Keadaan sekarang sudah berbeza berbanding dahulu,” katanya.
Ayob Khan berkata, ancaman yang wujud ketika ini juga tidak lagi semestinya berasaskan agama atau ideologi seperti sebelum ini.
“Kadang-kadang timbul perasaan marah untuk melakukan serangan dan mereka terus bertindak. Corak ancaman dan modus operandi mereka memang sudah
berubah.
“Baru-baru ini Cawangan Khas juga menahan beberapa remaja belasan tahun yang terbabit, menunjukkan ancaman itu kini semakin berbeza,” katanya.- UTUSAN










