KUALA LUMPUR: Himpunan Sumud Flotilla (HSF) bertukar tegang apabila peserta mula tolak menolak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) susulan mereka tidak dibenarkan berkumpul di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), di sini hari ini.
Pada awalnya himpunan tersebut berlangsung dengan aman dan bertukar menjadi kecoh apabila beberapa individu menjerit supaya pihak polis membuka sekatan menuju ke Kedutaan AS.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa individu tidak dikenali dipercayai bertindak membaling telur ke arah pagar kedutaan.
Turut kelihatan beberapa wanita terjatuh ketika akibat tolak menolak itu berlaku.
Bagaimanapun suasana tegang itu kemudiannya berjaya dikawal anggota polis bertugas dan peserta dinasihatkan supaya bertenang.
Terdahulu, ribuan peserta HSF mula berkumpul di Bangunan Tabung Haji sekitar pukul 2 petang sebelum berarak menuju Kedutaan AS.
Bagaimanapun, peserta HSF tidak dibenarkan melepasi kawalan polis untuk berhimpun di hadapan bangunan Kedutaan AS. – UTUSAN









