KUALA LUMPUR: Wakil kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia akhirnya bersedia menerima memorandum bantahan berhubung tindakan Israel terhadap aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) setelah enggan menerimanya semalam.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, hanya dua individu sahaja dibenarkan masuk ke kedutaan tersebut.
Beliau berkata, wakil kedutaan AS menghubunginya untuk mengatakan serahan memorandum akan dilakukan sekitar pukul 3 petang tadi.
“Hanya dua individu saja dibenarkan masuk (ke premis pihak berkenaan) termasuk Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Dr. Maszlee Malik.
“Selain itu mereka (wakil kedutaan AS) bersedia mendengar tuntutan kita dan akan menyerahkan memorandum daripada rakyat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu, ribuan peserta Himpunan Sumud Flotilla mula berkumpul di Bangunan Tabung Haji sekitar pukul 2 petang sebelum berarak menuju Kedutaan AS.
Tinjaun Utusan Malaysia di lokasi mendapati, hujan lebat tidak menjadi alasan untuk melunturkan semangat rakyat Malaysia bagi menyatakan solidaritI buat penduduk Gaza di Palestin untuk hari kedua.
Sebelum ini, media melaporkan Kedutaan AS enggan menghantar wakil untuk mengambil memorandum itu di atas alasan faktor keselamatan namun memberi jaminan memorandum tersebut akan diambil kemudian.
Memorandum itu antara lain menuntut pembebasan aktivis GSF yang ditahan Israel termasuk menggesa AS menggunakan pengaruhnya untuk menghentikan kekejaman terhadap penduduk Palestin. – UTUSAN










