BESUT: Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap seekor harimau dahan di Kampung Kelekok La, di Hulu Besut di sini semalam, iaitu yang kedua di Terengganu pada tahun ini.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, terdahulu pihaknya menerima aduan berhubung kehadiran haiwan liar itu pada 2 Oktober lalu dan satu perangkap dipasang pada hari sama.
“Harimau dahan jantan seberat 25 kilogram ini dikesan memasuki perangkap yang dipasang pagi semalam. Difahamkan, ia membaham empat ekor haiwan ternakan penduduk iaitu seekor lembu dan tiga ekor kambing, ” katanya di sini hari ini.
Kean Seong berkata, harimau dahan adalah haiwan yang jarang ditemukan di negeri ini dan ia adalah yang kedua ditangkap di Terengganu pada tahun ini.
Harimau tersebut dilepaskan kembali ke habitat asalnya untuk kemandiriannya. – UTUSAN










