Dua lelaki curi beg sekolah diburu polis

Dua lelaki curi beg sekolah diburu polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Dua lelaki diburu polis kerana dipercayai melarikan beg sekolah yang diletakkan di motosikal di premis perniagaan Taman Tasik, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan pada pukul 7.37 malam berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, dua individu dipercayai mengambil beg yang diletakkan di dalam bakul sebuah motosikal sebelum melarikan diri.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bahrin dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berdekatan untuk tindakan selanjutnya,”katanya.

Terdahulu, rakaman berdurasi hampir satu minit itu dimuat naik di laman Facebook dengan menunjukkan gelagat dua individu berkenaan yang berlegar-legar sebelum mencuri beg tersebut. 

Ada yang berseloroh kononnya pencuri mahu menyiapkan kerja sekolah, namun begitu, majoriti pengguna media sosial mengecam perbuatan itu serta meluahkan rasa simpati terhadap mangsa yang kehilangan barangan peribadi.

Tidak kurang juga yang berharap pelaku segera diberkas dan beg galas itu dapat dikembalikan kepada pemilik asal kerana insiden itu menimbulkan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan harta benda yang diletakkan di kawasan awam. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN