England berdepan cabaran altitud tinggi di Azteca

England berdepan cabaran altitud tinggi di Azteca

PEMAIN England berdepan cabaran apabila perlu beraksi pada altitud tinggi menjelang pertemuan menentang Mexico dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, di Stadium Azteca, Ahad ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANSAS CITY: England bakal berdepan ujian getir apabila menentang tuan rumah, Mexico dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, Ahad ini di Stadium Azteca yang terkenal dengan altitud tinggi serta sokongan padu penyokong lawan.

Skuad kendalian Thomas Tuchel dijadual tiba di Mexico City pada hari ini selepas berlepas dari pangkalan mereka di Kansas City, Amerika Syarikat (AS).

Stadium Azteca terletak pada ketinggian 2,240 meter (m) dari aras laut, sekali gus mewujudkan keadaan udara yang lebih nipis dan kandungan oksigen lebih rendah selain menyebabkan pergerakan bola menjadi lebih pantas berbanding biasa.

Sebagai perbandingan, Stadium Mercedes-Benz di Atlanta yang menjadi venue kemenangan England 2-1 ke atas Congo pada Rabu lalu hanya berada pada ketinggian sekitar 300m dari aras laut.

Menurut Tuchel, tempoh empat hari sebelum perlawanan tidak mencukupi untuk membolehkan pemain menyesuaikan diri dengan keadaan altitud tinggi.

“Ia mustahil untuk kami menyesuaikan diri secara fizikal dalam tempoh itu. Namun, kami sudah bersedia menghadapi segala cabaran yang menanti.

“Perlawanan menentang Mexico di Azteca adalah antara aksi paling menarik yang boleh diharungi mana-mana pasukan,” katanya.

Jurulatih dari Jerman itu berkata, England telah melakukan persiapan sebaik mungkin sepanjang kempen Piala Dunia yang berlangsung di Kanada, Mexico dan AS.

Bagaimanapun, jadual pertandingan yang padat menyebabkan mereka tidak mempunyai masa mencukupi untuk menjalani proses aklimatisasi di Mexico City.

“Kami akan tiba sehari lebih awal daripada kebiasaan. Bola akan bergerak secara berbeza dan mungkin meluncur beberapa meter lebih jauh.

“Cadangan terbaik ialah tiba 10 hari lebih awal atau pada saat akhir, tetapi kedua-dua pilihan itu tidak sesuai untuk kami,” katanya.

England bagaimanapun dijangka mendapat sedikit kelebihan apabila cuaca diramal lebih sejuk dengan kemungkinan hujan ketika sepak mula.

Namun, mereka tetap perlu berdepan kelebihan Mexico yang memiliki rekod cemerlang di Stadium Azteca apabila hanya tewas dua daripada 89 perlawanan di gelanggang keramat itu.

Anak buah Javier Aguirre turut mara ke pusingan 16 terbaik tanpa dibolosi sebarang gol dan mempamerkan aksi meyakinkan ketika menewaskan Ecuador 2-0 pada pusingan terdahulu.

Stadium Azteca juga menyimpan kenangan pahit buat England yang kali terakhir beraksi di venue itu ketika tewas 1-2 kepada Argentina pada Piala Dunia 1986, perlawanan yang diingati menerusi jaringan kontroversi “Hand of God” oleh Diego Maradona.

Difahamkan, kem England turut mengambil langkah merahsiakan lokasi penginapan mereka bagi mengelakkan gangguan penyokong Mexico yang dipercayai akan cuba mengganggu rehat pemain.

Sebelum ini, Ecuador mengemukakan aduan kepada FIFA selepas pemain mereka didakwa tidak dapat tidur akibat bunyi bising yang dilakukan penyokong Mexico menjelang aksi pusingan 32 terbaik.

“Kami menjangkakan perkara seperti itu berlaku. Apa yang boleh kami lakukan hanyalah membuat persediaan, termasuk membawa penyumbat telinga, tetapi kami bersedia menghadapi apa juga situasi,” kata Tuchel. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN