GEORGE TOWN : Semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di negeri ini sejak Khamis lalu telah ditutup sepenuhnya kira-kira pukul 1 petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, Kolonel (PA) Lokman Hakim Abdul Rahman berkata, empat PPS terakhir iaitu di Seberang Perai Utara (SPU) ditutup selepas keadaan cuaca dilaporkan semakin baik dan paras air sungai juga kembali surut.
Katanya, keempat-empat PPS tersebut iaitu di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Nyior Sebatang, Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora, Dewan Labuh Banting serta SK Lahar Yooi.
“Semua mangsa yang berpindah ke PPS ketika ini telah dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing selepas kawasan penempatan mereka juga kembali kering dan selamat untuk diduduki.
“Penilaian semasa ini dibuat berdasarkan paras air sungai yang menunjukkan trend menurun dan tiada lagi kawasan penempatan yang terjejas. Oleh itu, semua PPS diisytiharkan ditutup secara rasmi,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan terhadap semua agensi yang terlibat dalam menguruskan bencana itu sebelum ini.-UTUSAN










