NIBONG TEBAL : Kebakaran yang berlaku di kawasan tapak pelupusan sisa pepejal di Pulau Burung sejak awal pagi akhirnya berjaya dipadamkan selepas operasi pemadaman dijalankan selama 12 jam tanpa henti.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 5.40 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
Katanya, selain keanggotaan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, operasi itu turut dibantu oleh BBP dari Sungai Bakap, Jalan Perak, Bayan Baru dan Bandar Perda dengan jumlah keseluruhan anggota yang terlibat adalah seramai 24 orang.
“Kebakaran melibatkan kawasan seluas hampir 10,000 kaki persegi dan ia dibahagikan kepada dua sektor bagi memudahkan kerja-kerja pemadaman api dilakukan.
“Selain itu, operasi pemadaman turut menggunakan lapan aliran atau lapan pancutan air yang dibahagikan kepada empat pancutan bagi setiap sektor serta penggunaan dua unit jengkaut bagi memudahkan pemadaman dilakukan secara ‘direct attack’ dan ‘fire break’,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, kebakaran tersebut akhirnya berjaya dipadamkan kira-kira pukul 5.13 petang tadi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 5.55 petang tadi.
Untuk rekod, ini kali ketiga kawasan tapak pelupusan sisa pepejal itu terbakar dalam tahun ini dengan kebakaran pertama dikesan berlaku pada Januari lalu akibat pembakaran terbuka manakala kebakaran kedua pula berlaku bulan lepas yang melibatkan timbunan sampah setinggi enam meter.-UTUSAN










