GEORGE TOWN : Satu laporan lengkap berhubung pelaksanaan kadar cukai tanah baharu di Pulau Pinang akan disediakan sebelum diserah kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, laporan itu dibuat susulan mesyuarat yang diaturkan Anthony sebelum ini iaitu melibatkan tiga pihak bagi membincangkan isu kenaikan kadar cukai tanah di negeri ini yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Kon Yeow berkata, pada masa yang sama, beliau juga akan mematuhi arahan kepimpinan parti supaya tidak membicarakan perkara tersebut di media bagi mengelakkan timbul sebarang persepsi negatif terhadap parti, barisan kepimpinan serta kerajaan negeri Pulau Pinang.
“Saya ingin berterima kasih kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kerana mengaturkan mesyuarat berkenaan dan saya juga akan menyediakan satu laporan seperti yang dipinta kepada beliau (Anthony) berhubung perkara itu,” katanya di sini, hari ini.
Kerajaan negeri sebelum ini telah melaksanakan semakan kadar cukai tanah dan klasifikasi tanah luar bandar kepada bandar bagi seluruh Pulau Pinang mengikut peruntukan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.
Pelaksanaan semakan kadar cukai tanah itu membabitkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh Pulau Pinang meliputi pelbagai kategori dan kegunaan tanah termasuk kediaman, komersial, industri, pertanian dan kategori khas lain.
Susulan pelaksanaan semakan tersebut, ia mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemilik hartanah yang terlibat serta ahli politik DAP di negeri ini.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pihaknya turut menggesa pemilik tanah yang terkesan supaya mengemukakan rayuan kepada pejabat Daerah dan Tanah masing-masing serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian di Komtar bagi pertimbangan lanjut.-UTUSAN










