Aset Datuk Seri Vida dilelong RM1 juta

Aset Datuk Seri Vida dilelong RM1 juta

PELELONG berlesen, S. Punithawathi ketika proses lelongan aset Datuk Seri Dr Hasmiza Othman di kediaman usahawan itu  di Meru Heights di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiga kenderaan mewah dan 727 barangan peribadi milik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida berjaya dibida seorang lelaki pada harga keseluruhan RM1 juta.

Proses lelongan yang berlangsung di kediaman Vida di Meru Heights itu bermula sekitar pukul 10.30 pagi melibatkan dua pembida.

Bagaimanapun, lelongan berkenaan berakhir dengan seorang pembida berjaya memperoleh kesemua barangan yang disenaraikan dalam Notis Pengisytiharan Jualan Lelong selepas seorang pembida menarik diri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Barangan itu dibida ahli perniagaan, Norzamri Abdullah dan diisytiharkan pelelong berlesen, S. Punithawathi pada pukul 1.40 petang.

Antara kenderaan mewah yang dilelong ialah Toyota Vellfire, Toyota Grand Hiace dan BMW X7, selain pelbagai barangan peribadi seperti piano, gitar elektrik, set sofa, set meja makan, pasu bunga, televisyen, penghawa dingin, katil urut, karpet, teleskop, meja solek, langsir, set karaoke dan jam berdiri.

Sementara itu, peguam kepada pihak penuntut, Samir Zainal mengesahkan seorang pembida menarik diri selepas harga tawarannya tidak menepati syarat mahkamah yang menetapkan bidaan minimum RM1 juta.

Menurut beliau, pembida yang berjaya perlu melengkapkan proses pembayaran kepada pihak mahkamah sebelum pukul 4.30 petang hari ini.

“Saya difahamkan barangan yang berjaya dibida ini tidak akan dikeluarkan hari ini, hanya bayaran dibuat kepada mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, baki tuntutan kira-kira RM100,000 yang perlu dibayar pihak Vida akan ditentukan kemudian berdasarkan arahan dan perbincangan bersama anak guamnya.

“Masih terdapat baki termasuk faedah sekitar RM100,000 dan saya menunggu arahan selanjutnya daripada anak guam. Saya difahamkan tuntutan akan dibuat, maksudnya akan ada proses lagi.

“Mungkin akan ada proses rundingan atau tindakan lain, namun ia bergantung kepada keputusan seterusnya,” katanya.

Barangan dalam rumah milik Vida disita selepas usahawan terbabit gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada syarikat kontraktor pembinaan, Ah Design Communication sebanyak RM1,060,285 sejak 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini