JEDDAH: Arab Saudi terpaksa berhempas pulas sebelum bangkit menundukkan Indonesia 3-2 dalam aksi pembukaan play-off Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Bandar Sukan Raja Abdullah, awal pagi tadi.
Tuan rumah bermula cemas apabila penalti Kevin Diks meletakkan Indonesia di depan minit ke-11 selepas pertahanan Hassan Al Tambakti dikesan mengawal bola dengan tangan hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Gol itu mencetuskan kejutan besar buat penyokong tuan rumah, namun kelebihan Indonesia hanya bertahan enam minit apabila pemain muda, Saleh Abu Shamat menyamakan kedudukan menerusi rembatan lencong menarik pada penampilan sulungnya.
Momentum terus berpihak kepada skuad bimbingan Roberto Mancini apabila Feras Al Buraikan meledak penalti minit ke-36 selepas dijatuhkan Yakob Sayuri untuk memastikan Arab Saudi mendahului 2-1 sebelum rehat.
Penyerang Al Ahli itu sekali lagi menjadi wira apabila menyambar bola muntah pada minit ke-61 bagi menambah jaringan ketiga selepas percubaan awalnya ditepis penjaga gol Indonesia, Maarten Paes.
Namun Indonesia yang kini dibimbing bekas bintang Belanda, Patrick Kluivert enggan menyerah apabila Diks sekali lagi menyempurnakan penalti kedua untuk merapatkan jurang minit ke-86.
Arab Saudi terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain gantian, Mohammed Kanno dilayangkan kad merah akibat membantah keputusan pengadil di penghujung perlawanan.
Bagaimanapun, pasukan enam kali beraksi di Piala Dunia itu tetap bertahan hingga wisel penamat sekali gus mengungguli Kumpulan B menjelang aksi seterusnya menentang Iraq, Selasa depan. – UTUSAN