PETALING JAYA: Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) dijangka berkuat kuasa Mei 2027 setelah dibuat penelitian terhadap peraturan-peraturan membabitkan urusan pelantikan dan terma perkhidmatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penelitian juga dilakukan terhadap urusan tatatertib bagi membolehkan proses seterusnya berjalan lancar.
“Pada masa sama, rundingan juga sedang berjalan bersama agensi pusat bagi membolehkan struktur organisasi Perkhidmatan Parlimen ini dapat dimuktamadkan sebelum akta ini berkuat kuasa kelak,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai status terkini pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 termasuk garis masa pelaksanaan akta itu selain peraturan atau pindaan yang sedang digubal.
Mac lalu, media melaporkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan di Dewan Rakyat.
Ia sekali gus menyaksikan selepas 33 tahun, Perkhidmatan Parlimen bakal mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia. – UTUSAN










