KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan memperkasa sukan tradisi rantau ini terus diperkukuh apabila kerja menaik taraf Kompleks Sukan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru bagi dijadikan Akademi Sepak Takraw Malaysia.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, projek berjumlah RM6 juta itu dijangka siap dalam tempoh tiga bulan, sekali gus menjadikan kemudahan berkenaan sebagai pusat latihan sepak takraw paling lengkap di Asia.
“Kita tidak berminat membina fasiliti baharu kerana lebih baik menaik taraf bangunan sedia ada bagi mengelak pembaziran.
“Model ini lebih efisien dan menjimatkan,” katanya ketika hadir ke acara Gimik ringkas memulakan kerja Naiktaraf dan baik pulih Stadium Raja Muda Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru .
Menurutnya, projek yang dijalankan di tanah milik Institut Sukan Negara (ISN) itu dipajakkan kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi tempoh pajakan tiga tahun dengan pilihan tawaran tiga campur tiga.
Hannah menjelaskan, akademi tersebut bakal menempatkan pelbagai kemudahan termasuk penginapan atlet, gimnasium, bilik pembelajaran dan gelanggang latihan di bawah satu bumbung.
“Ini akademi sepak takraw eksklusif pertama di Asia dan mungkin di dunia. Ia menjadi simbol Malaysia sebagai peneraju sukan warisan rantau ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, dana berkenaan merupakan sebahagian daripada peruntukan diumumkan Perdana Menteri sempena sambutan Hari Belia 2024, selaras dengan komitmen Kerajaan Madani menjadikan sukan sebagai wadah perpaduan rakyat.
Tambah beliau, kementeriannya menyalurkan peruntukan besar untuk pembangunan sepak takraw melalui pelbagai skim termasuk Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti masing-masing berjumlah RM9 juta pada 2023, RM8 juta (2024) dan RM6 juta (2025).
Daripada jumlah RM6 juta bagi projek ini, RM5.5 juta diperuntukkan bagi naik taraf infrastruktur, manakala RM500,000 lagi digunakan bagi kelengkapan fasiliti dan peralatan.
“Kami juga mengalu-alukan penajaan daripada mana-mana pihak untuk hak penamaan (naming rights) akademi ini kerana potensi tontonan sepak takraw sangat tinggi, terutamanya ketika Malaysia beraksi di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hannah memuji inisiatif PSM yang memperluas promosi sukan sepak takraw ke sekolah-sekolah Cina, Tamil serta komuniti Orang Asli, selaras dengan matlamat menjadikan sukan sebagai jambatan perpaduan negara.-UTUSAN










