TikTok diarah beri perhatian sistem pengesahan umur pengguna

TikTok diarah beri perhatian sistem pengesahan umur pengguna

FAHMI Fadzil pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi TikTok dengan PDRM, MCMC dan Jabatan Peguam Negara (AGC) di Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Platform media sosial, TikTok diarah untuk memberi perhatian serius terhadap sistem pengesahan umur pengguna platform berikutan mekanisme sedia ada dilihat gagal membendung kehadiran pengguna di bawah usia 13 tahun.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya mendapati antara permasalahan dikesan dilakukan platform media sosial termasuk TikTok melibatkan pengguna kanak-kanak di bawah usia 13 tahun yang melanggar garis panduan komuniti platform. 

Beliau oleh itu menggesa pihak platform (TikTok) memuktamadkan satu mekanisme bagi pengesahan umur pengguna. 

“Dalam banyak lawatan saya ke sekolah terutamanya sekolah-sekolah rendah, saya mendapati anak-anak seawal tahun satu (darjah satu) memiliki akaun TikTok jadi kerana pihak TikTok memaklumkan anak-anak bawah 13 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun. 

“Jadi, perlu ada mekanisme verifikasi umur untuk pengesahan dan kita serahkan kepada pihak TikTok, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pertemuan bersama pengurusan tertinggi TikTok dengan PDRM, MCMC dan Jabatan Peguam Negara (AGC) di Bukit Aman di sini hari ini. 

Fahmi berkata, penggunaan electronic Know Your Customer (e-KYC) dan mengehadkan akses terhadap ciri-ciri tertentu dalam media sosial boleh digunakan bagi mengekang penggunaan media sosial oleh individu bawah 13 tahun.

Katanya, ia seperti dilakukan di negara lain seperti Singapura, Australia serta China yang menetapkan beberapa ciri tidak dibenarkan sekiranya gagal membuat pengesahan identiti.

“Jadi kita memberikan tempoh masa kepada TikTok terhadap apa tindakan yang perlu mereka lakukan,” katanya. 

Beliau berkata, pihaknya turut akan mengadakan pertemuan dengan media sosial lain antaranya Meta dan X bagi membincangkan isu-isu termasuk jenayah penipuan.

Kelmarin, media melaporkan pihak pengurusan tertinggi platform media sosial TikTok dipanggil ke Bukit Aman berikutan kelewatan syarikat itu memberikan kerjasama kepada PDRM dalam menangani isu penyebaran berita palsu di platform terbabit.

Fahmi dilaporkan berkata, isu berkenaan termasuk yang tular baru-baru ini melibatkan hantaran individu yang mendakwa dirinya sebagai pakar bedah dalam kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Antara isu dikenal pasti termasuklah penyebaran kandungan berkaitan pedofilia yang dikesan dalam Op Pedo.

“Kami lihat pihak platform-platform ini mereka tidak mengambil sikap yang serius, jadi proses dialog itu akan diteruskan dan kami akan beri penegasan undang-undang Malaysia yang terpakai kepada mereka dan mereka wajib akur, kami akan panggil setiap platform,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×