KUALA LUMPUR: Nasib malang terus menghantui dua beregu campuran profesional negara apabila masing-masing terkandas pada saingan suku akhir Terbuka Korea hari ini.
Gandingan berpengalaman, Goh Soon Huat-Shevon Lai gagal mengekang kehebatan beregu No. 1 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin apabila tewas 21-9, 18-21, 21-8 di Suwon.
Pasangan No. 8 dunia itu sempat memberi tentangan dengan memenangi set kedua, namun rebah mudah di set penentuan.
Kekalahan itu menyaksikan Soon Huat-Shevon kini tumpas sembilan kali dalam 10 pertemuan menentang pasangan handalan China tersebut.
Untuk rekod, penampilan di Korea menamatkan penantian mereka mara ke lapan terbaik sejak Terbuka Jepun Julai lalu.
Dalam pada itu, satu lagi beregu profesional, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien turut menerima nasib sama apabila dikecewakan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.
Gandingan No. 35 dunia itu akur tewas straight set 12-21, 8-21 dalam tempoh 33 minit.
Meskipun tersingkir, pencapaian mara ke suku akhir kali ini adalah yang terbaik buat Tien Ci-Chiew Sien sepanjang musim selepas sering terkandas di pusingan awal. – UTUSAN