PETALING JAYA: Skuad menembak negara kini memasuki fasa ketiga dalam melakukan persiapan menghadapi Sukan SEA Thailand yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 20 Disember ini.
Jurulatih menembak kebangsaan, Mohamad Firdaus Abd Rahim berkata, segala persiapan semuanya tertumpu pada latihan secara berpusat dan tidak lagi menyertai kejohanan.
Katanya lagi, sehingga kini venue bagi mengadakan latihan berpusat masih belum dapat dimuktamadkan berikutan terdapat beberapa masalah yang dihadapi.
“Sekarang ini kami sudah memasuki fasa ketiga persiapan ke Sukan SEA 2025. Apabila memasuki fasa ketiga, kita menuju ke fasa akhir yang mana tiada lagi kejohanan disertai, hanya latihan secara berpusat.
“Pada mulanya, Sarawak menjadi lokasi untuk latihan berpusat kerana lapangan sasar baru dinaik taraf memandangkan mereka menganjurkan Sukma (Sukan Malaysia) 2024.
“Namun, kami tidak dapat pergi ke sana dan mungkin ke Perak tetapi ada sedikit perkara yang mengganggu pasukan podium yang mana kami memerlukan papan elektronik. Ia juga ada di Johor, tapi tak semua dapat digunakan,” katanya.
Firdaus turut berkata, latihan berpusat fasa terakhir itu bakal diadakan pada 1 hingga 23 November ini dengan kemungkinan lokasinya di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang.
“Kita perlukan suasana sebenar pertandingan. Kita juga akan mengadakan pertandingan dalaman untuk membuat simulasi pertandingan nanti,” katanya. – UTUSAN










