‘Nadi PN masih berdenyut dengan jantung Pas’

‘Nadi PN masih berdenyut dengan jantung Pas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pemuda Pas menyifatkan parti itu yang memikul Perikanan Nasional (PN) di bahu mereka walaupun ramai pemimpin dalam gabungan tersebut bercakap soal perpaduan, konsensus dan rakan strategik.

Pengarah Pilihan Rayanya, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md. Fauzi berkata, walaupun pedih tetapi ia adalah kenyataan yang berasaskan fakta dan bukan kerana sentimental atau slogan.

Katanya, Pas bukan lagi parti ‘sokongan’ tetapi menjadi tunjang politik Melayu dengan namanya lebih hidup daripada mana-mana parti Melayu lain sama ada di lapangan, masjid, kampung, universiti atau pasar malam.

“Pas bukan sekadar parti, Pas adalah gerakan. Gerakan yang berakar, bukan bertongkat. Bernaung pada rakyat, bukan pada kuasa.

“Kalau hari ini PN masih relevan, itu kerana nadi PN masih berdenyut dengan jantung Pas,” katanya menerusi catatan dalam Facebooknya hari ini.

Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, berdasarkan angka, Pas adalah parti yang mempunyai paling ramai ahli Parlimen dalam PN, paling banyak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selain memiliki tiga menteri besar.

Katanya, angka-angka itu bukan retorik tetapi adalah mandat diberikan rakyat dalam proses demokrasi negara.

“Kalau kepemimpinan tidak berpaksikan kepada mandat, maka itu bukan kepemimpinan bahkan itu hanya persembahan elit,” katanya yang juga ADUN Sura. 

Beliau yang juga ADUN Sura berkata, ketika parti lain bergolak, Pas kekal stabil dalam arus politik negara.

“Dalam PN, siapa yang paling jarang kelihatan retak? Siapa yang tidak sibuk berperang sesama sendiri? Jawapannya tetap sama, (iaitu) Pas. Pas bergerak dengan disiplin jemaah. Keputusan melalui syura, bukan emosi. Luka ditutup, bukan dipertontonkan.

“Di saat orang lain sibuk menyelamatkan diri, Pas sibuk menyelamatkan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, Pas bukan besar kerana kuasa tetapi kerana ahlinya termasuk paling ramai dalam PN.

Katanya, ahli Pas bukan muncul ketika kempen tetapi kekal walaupun tanpa jawatan.

“Itulah kekuatan sebenar bukan kerusi tetapi kesetiaan. Jadi, soalan yang lebih jujur, Pas  tidak memimpin PN, PN hendak memimpin siapa?

“Realiti ini mungkin tidak selesa. Tapi rakyat bukan bodoh. Mereka melihat. Mereka menilai. Mereka tahu, siapa yang benar-benar bekerja.

“Pas bukan menuntut kuasa. Pas hanya menuntut hak untuk memimpin dengan mandat yang diberikan rakyat. Kalau PN mahu masa depan, jangan abaikan tunjangnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN