DAMSYIK: Kerajaan Syria dan pasukan Kurdish mencapai perjanjian komprehensif untuk mengintegrasikan institusi ketenteraan dan sivik Kurdi ke dalam struktur negara secara berperingkat, satu langkah yang digambarkan Washington sebagai titik sejarah penting.
Sejak beberapa minggu lalu, Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diterajui Kurdish menyerahkan kawasan luas berpenduduk Arab kepada tentera kerajaan, wilayah yang mereka kuasai selama bertahun-tahun selepas pertempuran sengit menentang kumpulan pengganas IS dengan sokongan gabungan pimpinan AS.
Teks perjanjian yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak menyatakan ia bertujuan menyatukan wilayah Syria dan mencapai integrasi penuh bagi kawasan majoriti Kurdish. Ia mengekalkan gencatan senjata sedia ada dan memperkenalkan integrasi berperingkat pasukan itu dan institusi pentadbiran.
Ketua SDF, Mazloum Abdi berkata, perjanjian akan dilaksanakan bermula 2 Februari, dengan kedua-dua pihak menarik pasukan dari barisan hadapan di bandar Kobane dan kawasan al-Jazeera di timur laut negara itu.
“Pasukan keselamatan dalaman terhad akan memasuki daerah keselamatan di Hasakeh dan Qamishli untuk melaksanakan perjanjian integrasi secara praktikal. Tiada pasukan ketenteraan akan memasuki mana-mana bandar atau pekan Kurdi,” katanya.
SDF sebelum ini merupakan rakan utama Washington dalam kempen menentang IS, tetapi selepas kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad pada akhir 2024, AS mula mendekati pihak berkuasa baru di Damsyik dan menjadi pengantara rundingan antara kerajaan dan puak Kurdish.
Perjanjian baharu ini diumumkan oleh SDF dan televisyen negara Syria, susulan persefahaman awal bulan ini mengenai masa depan kawasan majoriti Kurdish di provinsi Hasakeh dan Kobane.
Ia turut memenuhi beberapa tuntutan, termasuk penubuhan briged SDF di kawasan majoriti Kurdish yang sebelum ini ditolak oleh Damsyik kerana alasan etnik.
Dalam persidangan video Jumaat, ahli politik Kurdish dan perunding utama, Elham Ahmad berkata, perjanjian itu menguatkuasakan gencatan senjata kekal.
Beliau berkata, AS dan Perancis bertindak sebagai penjamin, tetapi rundingan masih berterusan mengenai proses integrasi.
Pakar Syria di Conflict Mediation Solutions, Lars Hauch berkata, perjanjian itu menunjukkan baki SDF akan terus wujud buat sementara, tetapi teks masih kabur mengenai soal teras desentralisasi pentadbiran dan keselamatan.-AFP











