PETALING JAYA: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau tidak berminat untuk menduduki kerusi panas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Namanya sering dikaitan untuk menjawat jawatan Presiden FAM setiap kali berlaku kekosongan dan situasi itu telah berlaku dua kali dengan kali pertama ketika Tan Sri Hamidin Mohd Amin melepaskan jawatan terbabit pada tahun lalu namun Khairy sekali lagi tetap dengan pendirian tidak berminat untuk berada di tampuk pemerintahan FAM.
Khairy menegaskan bahawa meskipun namanya sering dikaitkan dengan bola sepak dan pembangunan sukan negara, beliau tidak berhasrat kembali ke pentadbiran tertinggi FAM.
“Saya tak minat dengan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia. Saya hanya seseorang yang berminat dan terlibat dalam sukan, itu saja,” katanya.
Pada bulan lalu, arena bola sepak negara dikejutkan dengan peletakan jawatan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sebagai presiden FAM, bulan lalu.
Joehari hanya sempat memegang tampuk kepimpinan FAM selama lapan bulan sebelum berundur atas faktor peribadi.
Kekosongan itu kini dipangku Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi, sehingga Mesyuarat Kongres diadakan untuk memilih presiden baharu.
Khairy menjelaskan meskipun memiliki pengalaman menerajui KBS dan menjadi Ahli Lembaga Pengarah Johor Darul Ta’zim (JDT), namun ia bukanlah alasan untuk dirinya menduduki kerusi panas FAM.
“Saya ada peranan saya sebagai penasihat di Johor. Saya beri pandangan dan sudah tentu saya tengok JDT sebagai penanda aras emas untuk bola sepak negeri,” katanya.
Pada masa sama, Khairy turut memuji model pengurusan JDT yang dianggap terbaik dari segi peruntukan kewangan, pelaksanaan, struktur dan kemudahan bola sepak lengkap, sambil menekankan bahawa tidak semua negeri mampu menandingi pencapaian itu.
“Setiap negeri perlu berusaha ke arah itu mengikut kemampuan masing-masing,” katanya sambil menegaskan kepentingan pembangunan bola sepak yang konsisten. – UTUSAN