PUTRAJAYA: Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh esok hingga 22 April dilaporkan menurun sebanyak 75 sen iaitu ditawarkan pada RM5.97 seliter berbanding RM6.72 seliter sebelum ini.
Kementerian Kewangan berkata, sementara itu, harga RON97 tanpa subsidi pula menurun 25 sen iaitu dijual pada kadar RM5.10 seliter berbanding RM5.35 seliter.
Harga runcit RON95 juga turun sebanyak 25 sen iaitu ditawarkan pada kadar RM4.02 seliter berbanding RM4.27.
“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) untuk minggu ini, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan harga runcit petrol RON95 dan RON97 diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.
“Dengan konflik di Asia Barat yang berlarutan kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa dan mengambil langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api.
“Ia di samping melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu.
“RON95 menerusi Budi95 berharga RM1.99 seliter selain diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan bernilai RM2.15 seliter,” katanya. – UTUSAN










