LONDON: Mohamed Salah muncul wira Liverpool apabila menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan tipis 1-0 ke atas Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi.
Kemenangan dramatik itu mengekalkan rekod sempurna skuad bimbingan Arne Slot yang kini meraih empat kemenangan berturut-turut musim ini.
Burnley yang baru dinaikkan ke liga utama hampir meraih satu mata berharga, namun kesilapan Hannibal Mejbri yang tertampan bola dengan tangan membuka ruang buat Liverpool.
Salah tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol Martin Dubravka.
Sebelum itu, Liverpool menguasai hampir keseluruhan perlawanan dengan Cody Gakpo, Florian Wirtz dan Hugo Ekitike silih berganti mengasak kubu lawan.
Namun benteng kental Burnley serta percubaan pantas menerusi Jaidon Anthony membuatkan penyokong tuan rumah berdebar sehingga ke penghujung permainan.
Lebih malang buat Burnley apabila Lesley Ugochukwu dilayangkan kad merah pada minit ke-84 sekali gus memberi ruang lebih besar kepada Liverpool.
Dengan kemenangan ini, The Reds kembali mengungguli carta liga, tiga mata di depan pencabar terdekat Arsenal yang menewaskan Nottingham Forest 3-0 sehari sebelumnya. – AGENSI