Salah bidas peminat hina Diaz, Nunez

Salah bidas peminat hina Diaz, Nunez

Mohamed Salah (kanan) bersama Darwin Nunez. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah tampil mempertahankan bekas rakan sepasukan, Luis Diaz dan Darwin Nunez selepas kedua-duanya menjadi bahan ejekan di media sosial.

Salah membalas satu hantaran di platform X yang memaparkan gambar Diaz dan Nunez dalam hitam putih, disandingkan dengan dua muka baharu Liverpool, Florian Wirtz dan Alexander Isak dengan kapsyen: “Namakan peningkatan yang lebih besar dalam sejarah bola sepak.”

Bintang Mesir itu jelas tidak senang dengan sindiran berkenaan lalu menulis untuk membidas kenyataan tersebut.

“Bagaimana sekiranya  kita meraikan pemain hebat tanpa menghina juara Liga Perdana?” tulisnya.

Kenyataan Salah pantas mengundang reaksi apabila akaun peminat popular, Anfield Edition yang memiliki lebih setengah juta pengikut segera memohon maaf.

“Bukan niat untuk tidak menghormati, hanya mahu menyerlahkan perpindahan besar musim panas ini. Kami minta maaf,” tulis mereka.

Diaz sebelum ini berhijrah ke Bayern Munich dengan nilai 75 juta euro (RM368 juta), manakala Nunez pula menyertai kelab kaya Arab Saudi, Al-Hilal pada harga 53 juta euro (RM261 juta).

Sebagai ganti, Liverpool melabur besar dengan membawa masuk Wirtz pada harga 116 juta pound (RM696 juta) serta memecahkan rekod perpindahan Britain apabila membayar 125 juta pound (RM707.7 juta) untuk Isak.

Musim lalu, Diaz menjadi tonggak utama kejayaan The Reds dengan 13 gol dan tujuh bantuan jaringan, manakala Nunez hanya mampu menyumbang lima gol dalam 30 penampilan sekali gus sering menjadi sasaran ejekan penyokong di media sosial.

Salah sebelum ini juga lantang bersuara, termasuk mengkritik UEFA bulan lalu kerana tidak memberi penghormatan sewajarnya kepada legenda Palestin, Suleiman Al-Obeid. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN