BACHOK: Lapan tahun melawan kanser termasuk menulis tesis di atas katil selepas menjalani rawatan kemoterapi di hospital bukan penghalang kepada seorang pensyarah yang menghidap kanser payudara menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Dr. Fadilah Hanim Abdullah, 45, yang masih menjalani rawatan susulan penyakit kanser menamatkan pengajian PhD Keusahawanan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) selama hampir lapan tahun selepas bergelut dengan pelbagai rawatan sepanjang tempoh tersebut.
Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan di UMK Kampus Kota, Kota Bharu itu berkata, beliau terpaksa menulis tesis di katil hospital selain banyak menghabiskan masa menyiapkan tugasan dengan menahan sakit akibat rawatan di rumah.
Katanya, perjalanan akademiknya bermula 2015 sebelum disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga setahun kemudian.
“Ketika itu saya hampir putus asa. Saya terpaksa menjalani pelbagai prosedur rawatan termasuk pembedahan, 22 kali sesi kemoterapi dan 20 kali radioterapi.
“Dugaan tidak berhenti di situ apabila sel kanser merebak ke tulang hingga tahap empat pada 2023. Alhamdulillah, berkat sokongan keluarga dan kekuatan diri, saya tetap dapat menamatkan pengajian ini,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Ke-15 UMK di Dewan Tuanku Canselor, UMK Kampus Bachok, di sini semalam.
Lebih manis, Fadilah Hanim menerima sijil PhD daripada Pro-Canselor UMK, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga Tengku Mahkota Kelantan pada istiadat konvokesyen itu.
Fadilah Hanim berkata, tempoh PhD bagi jurusan tersebut sepatutnya empat tahun namun beliau menamatkan pengajian dalam tempoh lapan tahun disebabkan kekangan kesihatan.
Ibu kepada tiga anak lelaki berusia antara 13 tahun hingga 19 tahun turut menzahirkan rasa syukur atas sokongan kuat suami bersama keluarganya yang tidak pernah jemu memberi dorongan sepanjang perjuangan itu.
“Mereka banyak membantu daripada segi emosi dan tenaga. Saya kuat kerana mereka. Hari ini (semalam) bukan sekadar hari konvokesyen, tetapi hari kemenangan untuk kami sekeluarga.
“Allah SWT sudah memberi saya banyak rezeki, cuma nikmat kesihatan sedikit ditarik, namun itu bukan satu alasan untuk tidak berjaya dalam pelajaran,” ujarnya.
Beliau berharap kejayaannya itu menjadi contoh kepada pesakit kanser lain supaya terus berjuang dan tidak berputus asa dalam mengejar impian. – UTUSAN










