Mendapan di kawasan Masjid India bimbangkan peniaga

Mendapan di kawasan Masjid India bimbangkan peniaga

Keadaan jalan (bertanda merah) kembali seperti biasa selepas kerja-kerja baik pulih mendapan jalan siap dilaksanakan di Jalan Bunus Masjid India semalam. -UTUSAN/ SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejadian mendapan di Jalan Bonus, Masjid India semalam mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peniaga terhadap keselamatan diri dan orang awam.

Meskipun lubang tersebut telah diturap semula, peniaga dan pengunjung yang ditemui menyuarakan kebimbangan susulan insiden seorang pelancong India terjatuh ke dalam lubang besar dan mayatnya gagal ditemui hingga kini berlaku di kawasan sama.

Seorang peniaga pakaian, Rasyidi Hasnor, 59, berkata, beliau bimbangkan keselamatan dan kesan kejadian itu terhadap perniagaannya.

“Kalau kejadian macam ini sering berlaku, bukan setakat perniagaan terganggu, orang juga boleh cedera. DBKL kena selalu pantau kawasan yang berisiko macam kawasan Masjid India ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut pekerja kedai jahit berdekatan, Farhana Mawardi, 36, dia agak risau tentang ke­selamatan orang awam dan bimbang tentang akses pelanggan ke kawasan itu.

“Bila dengar ada mendapan, mereka takut nak datang. Penutupan jalan semalam pun menjejaskan sikit sebab susah mereka nak datang,” katanya.

Insiden mendapan jalan yang berlaku pada awal pagi semalam itu mengakibatkan Jalan Bonus ditutup sementara kepada orang awam bagi tujuan keselamatan.

Ia merupakan insiden kedua selepas seorang pelancong dari India, G. Vijayalakshmi, 48, terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter yang tiba-tiba terbentuk di bawah kakinya berhampiran kawasan Masjid India pada Ogos tahun lalu.

Seorang peniaga kedai jam dan kunci, Wei Chang, 52, berharap agar perkara seperti ini tidak berlaku lagi di masa akan datang.

“Saya risaukan keselamatan saya dan orang awam sebab kawasan ini tempat tumpuan dan saya harap perkara macam ini tidak berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN