Pas suka tunjuk kuasa, mahu jadi dominan - Anthony Loke

Pas suka tunjuk kuasa, mahu jadi dominan – Anthony Loke

ANTHONY Loke (kanan) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Skim Strata Bebas Kenderaan Usang di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pas disifatkan sukar untuk mengekalkan hubungan baik dengan rakan sekutu politiknya apabila parti itu sering bertindak mendominasi dan akhirnya mencetuskan pertelingkahan dalam gabungan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengalaman DAP bersama Pas suatu ketika dahulu jelas menunjukkan kecenderungan Pas untuk bergolak dengan mana-mana pihak yang pernah bekerjasama dengannya.

“Pas ini biasalah. Dia berkawan dengan semua orang pun dia gaduh. DAP pun ada pengalaman dengan mereka. Selepas satu masa, mereka akan tunjuk perangai sebenar, mahu tunjuk kuasa dan lebih dominan,” katanya selepas merasmikan Program Skim Strata Bebas Kenderaan Usang di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan perselisihan Pas dengan Bersatu baru-baru ini mengenai dana bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi bekas Menteri Ekonomi, Datuk Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, partinya sendiri PKR, serta parti komponen Pakatan Harapan, DAP mempunyai pengalaman yang sama dengan Pas pada zaman Pakatan Rakyat.

Mengulas lanjut, Anthony Loke menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuk DAP mengulangi pengalaman kerjasama dengan Pas apatah lagi dalam keadaan sekarang apabila Kerajaan Perpaduan menjadi fokus utama untuk membangunkan negara.

“Kita tidak perlu fikir soal bekerjasama dengan Pas. Fokus kita hari ini ialah memastikan kerajaan perpaduan berfungsi dengan baik. Apa yang penting adalah kita dapat bantu rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan kini memberi tumpuan kepada usaha menstabilkan politik negara selepas melalui fasa pergolakan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, kestabilan politik yang mula pulih kebelakangan ini membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai dasar yang konsisten dan mesra rakyat.

“Apabila kerajaan berjalan dengan lancar, maka, banyak program dapat dilaksanakan. Dasar kerajaan yang jelas dan tidak sering berubah memberikan keyakinan kepada pelabur swasta untuk terus menyalurkan pelaburan mereka di negara ini.

“Pelabur perlu keyakinan. Mereka kena beli mesin, tapak tanah dan buat pelaburan besar. Kalau dasar kerajaan sering berubah, mereka tidak akan berani melabur. Itu sebabnya kita tekankan dasar yang konsisten,” katanya. – UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×