PETALING JAYA: Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi menggantikan Datuk Mancha Ata yang akan bersara wajib pada 29 September ini.
Mohamad Zainal, 47, turut dinaikkan pangkat sebagai Komisioner dan merupakan pegawai polis termuda dilantik jawatan tersebut.
Mengesahkan perkara itu, Mohamad Zainal ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, beliau bersyukur atas pelantikan tersebut dan menyifatkan ia merupakan peluang untuk menabur bakti di negeri kelahirannya.
“Alhamdulillah, masa untuk berkhidmat di negeri kelahiran pula setelah hampir 30 tahun berkelana di Semenanjung Malaysia (belajar dan bekerja).
“Terima kasih kepada pucuk pimpinan yang memberikan kepercayaan untuk memimpin negeri Sarawak, Insya-Allah,” katanya.
Mohamad Zainal memiliki pengalaman luas dalam bidang siasatan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang semasa menjawat Ketua Penolong Pengarah D5, Pendakwaan/Undang-Undang JSJ Bukit Aman dan Ketua Polis Daerah (KPD) Dang Wangi dan KPD Perak Tengah.
Mohamad Zainal antara ‘produk’ Harvard Business School apabila mengikuti program pengurusan lanjutan selain mempunyai beberapa kelulusan.
Antaranya, Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ijazah Sarjana Sumber Manusia (Universiti Putra Malaysia), Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (UiTM) dan Ijazah Sarjana Muda Sosial Pentadbiran dan Keadilan dari Universiti Malaya.
Beliau antara 38 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dinaikkan pangkat dan bertukar jawatan.
Bagaimanapun setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pihak polis berhubung pertukaran tersebut. – UTUSAN







