PETALING JAYA : Melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah sintetik di Sarawak menjadi fokus Pesuruhjaya Polis Sarawak baharu, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dalam menerajui polis negeri itu.
Beliau berkata, strategi bersama pasukan polis Sarawak akan dirangka selepas mendapat gambaran penuh mengenai situasi semasa di negeri itu.
“Kebanyakan kes melibatkan dadah sintetik yang digunakan di seluruh dunia. Jadi kita akan lihat pendekatan terbaik dan pastikan jenayah ini dapat kita banteras bersama,” katanya selepas majlis serah terima tugas jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.
Mohamad Zainal berpengalaman luas dalam Jabatan Siasatan Jenayah, kepakaran itu akan dimanfaatkan bagi mencari formula melumpuhkan aktiviti pengedaran yang merosakkan masyarakat.
Terdahulu, majlis serah terima tugas Mohamad Zainal menggantikan Datuk Mancha Ata dan disaksikan Ketua Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ibrahim Darus.
Anak jati Lawas berusia 47 tahun itu sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. – UTUSAN










