Misteri lelaki di tepi jambatan

Misteri lelaki di tepi jambatan (Siri akhir)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aku terus memecut motosikal meninggalkan rakan-rakan yang sedang melepak di tembok berhampiran simpang jalan. Walaupun hati kecil meronta-ronta ingin turut lepak bersama, tetapi aku kena berfikir dua kali kerana hari sudah larut malam dan ada individu lain yang menumpangku ketika itu.

Dan isu yang paling besar adalah aku kena pulang ke rumah secepat mungkin takut kalau-kalau ibu dan ayah masih berjaga menunggu kepulanganku waktu ini.

“Ah, tak mengapalah! Esok pun aku boleh jumpa mereka,” bisikku dalam hati.
Hampir 10 minit perjalanan, akhirnya pemuda yang menumpangku itu memberitahu tempat tujunya hampir sampai. Aku lantas memperlahankan motosikal.

“Terima kasih ye,” katanya ringkas.

Aku sekadar mengangguk sambil memerhatikannya yang terus melangkah laju menuju ke arah sebuah lorong berhampiran kilang sawit berdekatan. Tangannya masih lagi menjinjing erat plastik yang aku tidak pasti apa isi kandungannya.

Aku tunggu sehingga kelibatnya hilang daripada pandangan. Waktu sudah menghampiri 12.30 tengah malam. Bunyi salakan anjing bersahutan dari kebun sawit berdekatan. Entah kenapa tiba-tiba bulu romaku tegak meremang.

Tanpa menunggu lama aku terus pecut motosikal dan berlalu pergi. Tak sabar rasanya hendak sampai ke rumah untuk berjumpa ibu ayah serta adik-adikku. Dan yang paling penting pastinya masakan ibu yang sentiasa menyelerakan.

Keesokannya selepas membeli barang dapur yang dipesan ibu aku bergegas menuju ke ‘port’ biasa tempat kawan-kawanku melepak. Sebaik sampai aku lihat Mizi, Budin dan Syawal sudah berada di situ.

Setelah menongkat motosikal aku terus menuju ke arah mereka. Masing-masing nampak terkejut dengan kehadiranku ketika itu.

“Eh, kamu semua ini kenapa? Tengok aku macam nampak hantu, macam tak suka aku balik kampung saja,” kataku sambil menghulurkan tangan bersalam.

Tiga orang rakanku yang berada di situ hanya memandangku dengan senyuman kelat. Selesai bersalaman aku terus buka cerita sambil bertanya khabar rakan-rakan lain.

“Lie, aku hendak tanya sikit ni, kau jangan terkejut pula,” kata Syawal mengerutkan dahi.

Aku tersengih sambi menunggu perkataan yang keluar daripada mulutnya.

“Malam tadi masa kau singgah di sini, kau bawa siapa? Tanya Syawal inginkan kepastian.

Aku terdiam sambil garu kepala yang tidak gatal. Terus aku ceritakan bagaimana aku berjumpa pemuda tersebut sebelum menumpangkannya pulang ke rumah.

“Aku kasihan dengan dia tunggu seorang diri di kedai itu. Kalau aku tidak tumpangkan memang sampai ke pagilah dia berdiri di situ.

“Eh, kamu semua kenal ke brader tu? Sebab aku tak pernah jumpa pula dia sebelum ini, rasanya bukan orang sini,” kataku lagi.

Budin menepuk bahuku perlahan sambil duduk merapatiku.

“Sebenarnya macam ini Lie, masa kau singgah di sini tegur kita orang semalam, kita orang tak perasan kau ada tumpangkan sesiapa, maklumlah kau pula datang dari depan, lampu motor kau pun dah buat kami semua silau.

“Tapi apabila kau pusing hendak masuk ke jalan besar barulah kami perasan ada orang yang tumpang kau di belakang tu,” terang Budin panjang lebar.

Aku hanya tersengih.

“Tapi masalahnya sekarang ini kau tahu tak apa yang kami nampak? Soal Budin kembali.

Aku diam sambil menggelengkan kepala. Entah kenapa aku rasa tidak selesa dengan pertanyaaannya.

“Kita orang bertiga nampak kau tumpangkan orang yang tak ada kepala. Dan yang paling buat kita orang macam hendak gugur jantung bila tengok dia jinjing plastik yang dalamnya berisi kepala,” sambung Mizi dengan bersungguh.

Aku terdiam. Entah kenapa tiba-tiba aku rasa bulu romaku tegak berdiri, namun aku cuba berlagak biasa sambil bertanya lagi.

“Seriuslah apa yang kamu semua cakap ini?,” Tanyaku inginkan kepastian.

Budin menghela nafas sambil menyambung ceritanya.

Katanya, sebaik sahaja aku memusingkan motosikal ke jalan besar, barulah mereka perasan aku membawa seseorang di belakang. Namun mereka yang berada di situ tergamam kerana tidak percaya dengan apa yang dilihat.

Katanya lagi, nampak jelas lelaki yang memboncengku ketika itu tidak mempunyai kepala, malah kepalanya diletakkan dalam plastik yang dijinjingnya ketika itu.

Sebaik sahaja mereka lihat, masing-masing terus tidak tunggu lama terus hidupkan motor dan bergegas pulang sampaikan salah seorang rakannya Zilan demam hari ini gara-gara terkejut.

Aku tergamam. Tak tahu bagaimana ingin berikan reaksi ketika itu. Entah kenapa tubuhku serta merta menggigil dan terasa panas.

“Aku rasa pemuda yang kau bawa tu mesti ada kaitan dengan kemalangan yang berlaku bulan lepas di jalan besar di pekan itu,” kata Budin.

Budin terus buka cerita, katanya sebelum ini ada satu kemalangan ngeri melibatkan sebuah lori treler dengan sebuah kereta di pekan, menurutnya pemandu kereta tersebut meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Tetapi mayatnya cukup ngeri, kerana beberapa anggota badannya terputus dan hancur, kata Budin lagi pemuda tersebut merupakan pekerja ladang sawit yang tinggal di daerah berdekatan.

Aku terdiam mendengar ceritanya. Lidah serta merta kelu tanpa mampu berkata sepatah.

Jika benarlah apa yang dikatakan Budin itu bermakna malam tadi aku bukan membawa manusia sebagai pembonceng, tetapi hantu seperti yang diperkatakan mereka. –UTUSAN

TAMAT

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN