Mesin padi terlajak jalan sebelum terjunam, korbankan seorang remaja

Mesin padi terlajak jalan sebelum terjunam, korbankan seorang remaja

JASAD Muhammad Amsyar Muqri Masri dibawa keluar dari lokasi kejadian di Kampung Sanglang, Ayer Hitam di Jerlun, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Insiden mesin padi terjatuh ke dalam sungai sehingga mengorbankan Muhammad Amsyar Muqri Masri, 18, dipercayai berlaku setelah jentera dipandu seorang remaja berusia 19 tahun terlajak jalan sebelum terjunam ke dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pukul 3.30 petang semalam, pemandu mengendalikan jentera itu bersama tiga rakannya yang berusia 16, 18, dan 20 tahun. 

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa remaja itu yang juga seorang pesawah memandu jentera mesin padi bersama rakannya selesai menuai padi. Semasa menaikkan jentera itu terlajak jalan terus menjunam masuk ke dalam sungai. 

“Pemandu bersama rakannya berusia 16 dan 20 tahun berjaya berenang ke tepi. Mereka ternampak mangsa yang berusia 18 tahun terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum dituntut oleh anggota keluarga selepas bedah siasat.

Terdahulu mayat Muhammad Amsyar Muqri ditemukan lemas hanya 10 meter dari lokasi dipercayai dia terjatuh di dasar sungai pada kedalaman kira-kira empat meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pencarian hari ini lebih mencabar berikutan arus deras, namun mangsa tidak dihanyutkan jauh. 

“Kami perluaskan radius pencarian dengan bantuan pasukan dari bomba Sungai Petani dengan keseluruhan 41 anggota termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis terlibat dalam operasi itu,” katanya.

Sementara itu, suasana di lokasi kejadian hiba apabila ibu bapa mangsa tampil membuat pengecaman sejurus selepas mayat ditemukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×