‘Naluri saya mengatakan memang mereka jatuh sungai’

‘Naluri saya mengatakan memang mereka jatuh sungai’

ROSWATI Zainol dan cucunya, Putri Qisya Nur Izzat ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bohor Karang, Jerlun,Kedah hari ini.-UTUSAN/SHAHIR NOORDIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Ibu kepada Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi yang terkorban bersama suami dan empat anak mereka di Sungai Korok mengakui berasa resah dan bimbang apabila anaknya belum tiba di rumah walaupun dihubungi kira-kira sejam sebelum itu.

Berkongsikan kisah, Roswati Zainol, 52, berkata, anak sulungnya itu menghubunginya pada 5 pagi bagi memaklumkan keberadaannya, namun pelik apabila kelibat mereka sekeluarga masih tidak kelihatan sebelum dia mula mengesyaki sesuatu telah terjadi.

“Kalau ikutkan jarak dari rumah adik iparnya di Taman Sri Aman ke sini tidaklah sampai satu jam perjalanan tambahan lagi pada waktu seperti itu yang tidak banyak kenderaan.

“Tetapi apabila saya hubunginya pada 6 pagi tidak dapat dan cuba beberapa kali lagi sehingga 7 pagi tetap tak berjaya menyebabkan saya tak sedap hati dan minta suami simpan semua barang niaga untuk mencari mereka,” katanya di sini hari ini.

Roswati berkata, Nurul Hidayah Khadijah sepatutnya pergi berniaga roti canai di Pendang pada hari kejadian bersama bapanya setelah kesemua barangan niaga sudah disiapkan.

Katanya, dia terus menghubungi adik kepada menantunya, Nur Adliah Syuhada Ishak untuk bertanyakan keluarga itu kerana mereka bermalam di rumahnya sebelum dimaklumkan enam beranak itu sudah pulang lebih awal.

“Naluri saya mengatakan memang mereka jatuh sungai kerana itulah laluan utama mereka tetapi saya kuatkan diri ketepikan apa yang negatif ketika itu. Kemudian Nur Adliah minta kebenaran buat hebahan di media sosial berkaitan kehilangan mereka enam beranak dan saya kata buatlah apa yang patut,” katanya.

Katanya, dia meminta Nur Adliah Syuhada berpecah mencari mereka di sekitar kawasan Jitra sementara dia pula melakukan pencarian di kawasan Jerlun, namun masing-masing tidak mendapat jawapan.

“Saya buat solat hajat, baca Yasin supaya dipermudahkan urusan pencarian mereka dan saya nak tidur pun tak boleh. Dalam hati, Ya Allah kalau mereka tak ada pun saya redalah tetapi saya minta jumpalah sebab teringat cucu yang kecil baru berusia enam bulan,” katanya.

Roswati berkata, dia turut pergi ke lokasi kejadian di Sungai Korok dan melihat sendiri bahagian bumbung kereta jenis Proton Iswara yang sebelum ini tidak kelihatan di situ.

“Sebaik bomba tarik kereta itu ke tebing dan tunjukkan nombor pendaftaran memang betul itu kereta mereka. Saya jadi tidak kuat untuk tengok keadaan mereka dan hanya mampu berzikir sahaja.

“Ketika di hospital pun saya hanya tengok wajah menantu dan empat cucu tetapi saya tak sanggup tengok wajah Nurul Hidayah sehingga dia dikebumikan.

“Hanya cucu yang juga anak sulung mereka, Putri Qisya Nur Izzat kuat, dia pergi tengok seorang demi seorang wajah walid, umi serta keempat-empat adiknya dan langsung tidak menangis tetapi saya tidak kuat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×