JERANTUT: Perubahan sikap jarang keluar rumah seolah-olah menjadi petanda perkara buruk berlaku ke atas seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang, dekat sini, kelmarin.
Bapanya, Zaiful Afindi Hashim berkata, lazimnya anaknya itu, Azri Fahmi, 14, keluar bertemu rakan-rakanya pada sebelah petang, iaitu selepas sesi persekolahan.
Namun, katanya, dia lebih banyak berada di rumah mereka di Taman Desa Desa Indah, di sini sejak sebulan lalu jika tiada latihan bola sepak dan sepak takraw di sekolahnya.
“Dia banyak menghabiskan masa di rumah selepas persekolahan pagi, bagaimanapun anak periang ini tidak nampak langsung menunjukkan ada tanda perubahan lain.
“Pada pukul 5.30 petang semalam (kelmarin), saya dihubungi seorang penduduk memberitahu anak saya jatuh ke dalam Sungai Pahang berhampiran sebuah rumah rakit,” katanya di Kampung Jerantut Feri di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad mengesahkan kejadian itu selepas menerima laporan pada pukul 7.15 petang, kelmarin.
Mangsa dipercayai tergelincir selepas terpijak hujung lebihan atap zink rumah rakit milik Majlis Daerah Jerantut.
Setakat pukul 3 petang semalam, operasi mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan. – UTUSAN










