PETALING JAYA: Kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun meningkat daripada 270,800 orang pada suku kedua 2024 kepada 286,500 orang bagi suku kedua, tahun ini berdasarkan laporan Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan.
Laporan sama turut merekodkan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran siswazah menurun daripada 1.55 juta orang pada 2022 kepada 1.54 juta orang pada 2023.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pihak kementerian dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi terlibat berusaha mengambil langkah strategik dalam menangani isu ketidakpadanan kemahiran melalui tindakan proaktif.
“Antaranya adalah TalentCorp telah menerbitkan Senarai Pekerjaan Kritikal Malaysia (MyCOL) sejak 2015 sebagai penanda aras untuk penelitian keperluan pekerjaan dan kemahiran kritikal yang diperlukan oleh pihak industri.
“Selain itu, TalentCorp juga telah menjalankan Kajian Impak Kecerdasan Buatan (AI), Digital dan Ekonomi Hijau untuk memahami kesannya terhadap tenaga kerja Malaysia.
“Berdasarkan dapatan kajian ini, portal digital MyMAHIR.my telah dibangunkan. Portal ini berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyediakan maklumat tentang peranan pekerjaan masa depan, kemahiran diperlukan dan program latihan bersesuaian dengan keperluan pasaran kerja semasa.
“Bagi memastikan keselarasan kemahiran dengan keperluan industri, MyMAHIR Future Skills Talent Council (FSTC) telah ditubuhkan untuk menentukan bentuk latihan yang diperlukan oleh industri dan memilih pusat latihan yang sesuai,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman web Parlimen, semalam.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin mengenai langkah kerajaan menangani kadar pengangguran belia yang tinggi sehingga mencecah 10.8 peratus dan graduan universiti bekerja tidak sepadan dengan kelulusan yang mereka peroleh (skill mismatch).
Pada masa sama, Steven Sim berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) giat memperkasakan pasaran kerja negara dan mempersiapkan tenaga kerja mahir negara dengan menyediakan Perkhidmatan Pekerjaan Negara melalui portal MYFutureJobs.
Sehingga 30 Jun lalu, katanya, sebanyak 85,952 penempatan telah berjaya dilaksanakan bagi pencari kerja dalam lingkungan umur 20 sehingga 45 tahun.
“Perkeso turut membangunkan Sistem Career Bridge Tool, melaksanakan Program MYFutureJobs Career Launchpad, mempersiapkan Pusat Satelit sebagai lokasi sehenti pencari kerja, menjalinkan kerjasama strategik bersama syarikat dan institut latihan kemahiran dalam menyediakan reskilling dan upskilling.
“Ia bertujuan meningkatkan kebolehpasaran serta kompetensi pekerja dan melaksanakan Program Eksplorasi Kerjaya yang merupakan platform untuk membantu meningkatkan soft skills para pelajar,” katanya. – UTUSAN