Samun dalam masjid: Penganggur dipenjara 12 bulan, didenda

Samun dalam masjid: Penganggur dipenjara 12 bulan, didenda

ZAINAL Ahmad mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menyamun seorang wanita di sebuah masjid pada 24 Jun yang lalu.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyamun seorang wanita ketika mangsa sedang menunaikan solat di sebuah masjid di sini, minggu lepas.

Tertuduh, Zainal Ahmad, 54, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyamun sebuah beg tangan milik Nazihah Zainol Abidin, 48, yang mengandungi kad pengenalan, kad bank, kunci kereta, telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM600 serta sebentuk cincin berlian dengan sengaja sehingga menyebabkan mangsa berada dalam ketakutan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di ruang solat wanita di Masjid Kapitan Keling di sini kira-kira pukul 6.15 pagi pada 24 Jun yang lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Adilla Zaharuddin.

Ketika prosiding, Nur Adilla memohon agar hukuman terhadap anak guamnya itu diringankan atas alasan tertuduh telah bercerai, tidak bekerja dan menghidap asma selain menganggap pengakuan bersalah oleh lelaki tersebut boleh menjimatkan masa mahkamah.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mahu hukuman setimpal dikenakan selepas mengambil kira tindakan tertuduh yang melakukan kesalahan ketika mangsa sedang beribadat, sekali gus mencemarkan kesucian masjid dan menjejaskan hak mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan dan denda RM1,000 terhadap tertuduh dan sekiranya denda itu gagal dibayar, tertuduh akan dikenakan tambahan hukuman penjara selama sebulan.

Dalam kejadian pada 24 Jun itu, mangsa dikatakan cuba menghalang suspek selepas menyedari beg tangannya diragut, namun, terjatuh akibat ditolak oleh lelaki itu yang sempat meloloskan diri dengan memanjat pagar masjid.

Difahamkan, suspek yang juga bekas banduan bagaimanapun berjaya ditahan di Terminal Feri Pengkalan Raja Tun Uda di sini kira-kira pukul 5.27 petang pada hari yang sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN