PETALING JAYA: Jenayah siber, ajaran sesat dan ekstremisme adalah antara cabaran utama yang dihadapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku agensi peneraju keselamatan negara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, segala bentuk ancaman yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam akan ditangani PDRM demi kesejahteraan rakyat.
Katanya, selain tiga tersebut, rasuah adalah antara cabaran utama yang digalas oleh PDRM.
“PDRM sentiasa komited memastikan segala bentuk ancaman yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam ditangani secara tegas, tuntas dan berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam Majlis Bicara Ilmu: Rakyat Bersatu, Negara Maju di Masjid Cyberjaya 10, semalam.
Dalam program itu, Ayob Khan juga menzahirkan rasa syukur atas nikmat kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran yang dikecapi rakyat Malaysia hasil pengorbanan serta jasa pemimpin terdahulu.
Beliau turut menekankan kepentingan penghayatan Rukun Negara, khususnya nilai kesopanan dan kesusilaan, di samping penerapan nilai keislaman iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fathonah dalam membentuk masyarakat yang harmoni. – UTUSAN










