PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou tidak akan berdepan sebarang penggantungan selepas isu tular membabitkan dakwaan ganjaran kemenangan Paralimpik Paris 2024.
Hannah memaklumkan keputusan itu dibuat selepas pihak kementerian mengadakan perbincangan bersama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
“Tiada penggantungan terhadap Liek Hou. MPM hanya akan mendapatkan penjelasan berhubung kekeliruan istilah ‘scam’ yang digunakannya di media sosial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Hannah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu isu tersebut ditutup segera bagi membolehkan atlet menumpukan sepenuh perhatian kepada persiapan latihan dan kejohanan.
“KBS sentiasa bersama atlet negara dalam perjuangan mereka untuk mengharumkan nama Malaysia,” katanya.
Beliau pada masa sama mengumumkan semua ganjaran akan menggunakan dokumen bertulis seperti kaedah template Road To Gold (RTG) supaya lebih jelas dan telus pada masa hadapan.
Hannah turut menzahirkan penghargaan kepada syarikat swasta yang tampil menawarkan insentif tambahan kepada lima pemenang pingat negara di Paralimpik Paris.
Terdahulu, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menegaskan pihaknya akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Liek Hou dan tidak menolak tindakan undang-undang termasuk penggantungan.
Megat dalam sidang media menjelaskan, pada awalnya hanya tiga syarikat tampil menawarkan tajaan kepada pemenang pingat di Paris.
Beliau menambah, tidak diketahui dari mana jumlah RM60,000 yang didakwa itu muncul sedangkan ganjaran rasmi yang diputuskan ialah RM25,000 bagi emas, RM15,000 (perak) dan RM8,000 (gangsa). – UTUSAN