PETALING JAYA: Kerajaan berjaya mematahkan cubaan menyeludup bekalan tenaga dengan rampasan bernilai RM2,189,121 menerusi pelaksanaan Op Tiris 4.0 (Bersepadu) Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP).
Menerusi operasi bermula dari 16 Mac hingga semalam itu, sebanyak 8,148 jumlah pemeriksaan direkodkan dan menghasilkan 155 kes.
Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebanyak 60 kes melibatkan diesel dengan nilai rampasan lebih RM2.1 juta dan 47 kes pula melibatkan petrol RON95 (RM51,299).
Beliau berkata, 21 kes melibatkan gas petroleum cecair (LPG) dengan rampasan bernilai RM51,299 dan 27 kes melibatkan minyak masak, gula serta tepung gandum.
“Hari ini juga, satu mesyuarat susulan JTPAP telah diadakan. Antara keputusan utama mesyuarat yang telah dipersetujui termasuklah menetapkan agensi peneraju utama bagi tiga sektor yang telah dikenal pasti yang meliputi sektor darat yang akan diterajui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Sektor sempadan akan diterajui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sektor perairan akan diterajui oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya pada akhbar hari ini.
JTPAP dianggotai oleh KPDN selaku urus setia, KDN, Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta kerajaan Sabah dan Sarawak termasuk agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan.
Pengaktifan jawatankuasa tertinggi itu adalah bertujuan untuk memperkasa penguatkuasaan dan pemantauan ketirisan barang kawalanl susulan krisis tenaga global akibat konflik Asia Barat yang meningkatkan risiko penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan khususnya bahan api diesel dan petrol.
Fadillah berkata, JTPAP turut akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung dan membatalkan kelulusan fleet card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan subsidi diesel nelayan sekiranya berlaku penyalahgunaan. – UTUSAN










