LONDON: OPEC+ bersetuju menaikkan kuota pengeluaran minyaknya sebanyak 206,000 tong sehari bagi bulan Mei, peningkatan sederhana ‘di atas kertas’ kerana anggota utama kumpulan itu tidak mampu meningkatkan pengeluaran akibat perang AS-Israel menentang Iran.
Perang itu menutup secara efektif Selat Hormuz, laluan minyak paling penting di dunia sejak akhir Februari dan mengurangkan eksport daripada anggota OPEC+ seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Iraq, satu-satunya negara dalam kumpulan itu yang mampu meningkatkan pengeluaran dengan ketara walaupun sebelum konflik bermula.
Harga minyak mentah melonjak ke paras tertinggi empat tahun hampir AS$120 (RM483) setong, menyebabkan harga bahan api pengangkutan meningkat dan memberi tekanan kepada pengguna serta perniagaan di seluruh dunia, serta mendorong tindakan kerajaan untuk mengekalkan bekalan.
Kenaikan kuota OPEC+ sebanyak 206,000 tong sehari mewakili kurang daripada dua peratus daripada bekalan yang terganggu akibat penutupan Hormuz, tetapi ia menunjukkan kesediaan untuk meningkatkan pengeluaran apabila laluan air itu dibuka semula, menurut sumber OPEC+.
Konsultan Energy Aspects menyifatkan peningkatan ini sebagai ‘akademik’ selagi gangguan di selat itu berterusan.
“Secara realitinya, ia menambah hanya sedikit tong ke pasaran. Apabila Terusan Hormuz ditutup, tambahan tong dari OPEC+ menjadi hampir tidak relevan,” kata bekas pegawai OPEC, Jorge Leon yang kini mengetuai analisis geopolitik di Rystad Energy.
Menurut Reuters, lapan anggota OPEC+ bersetuju dengan peningkatan kuota Mei dalam mesyuarat secara maya.
Selain gangguan yang menjejaskan anggota Teluk, negara lain seperti Russia juga tidak dapat meningkatkan pengeluaran disebabkan sekatan Barat dan kerosakan infrastruktur semasa perang dengan Ukraine.
Di Teluk pula, kerosakan infrastruktur akibat serangan peluru berpandu dan dron juga sangat teruk. Beberapa pegawai Teluk menyatakan ia memerlukan beberapa bulan untuk menyambung operasi normal dan mencapai sasaran pengeluaran walaupun perang tamat dan Selat Hormuz dibuka semula dalam masa terdekat.
Satu jawatankuasa OPEC+ lain, iaitu Jawatankuasa Pemantauan Bersama Menteri, juga mengadakan mesyuarat pada Ahad dan menyuarakan kebimbangan terhadap serangan ke atas aset tenaga, kerana kos baik pulih yang tinggi dan memakan masa memberi kesan terhadap bekalan, menurut kenyataan OPEC+.
Iran pada Sabtu menyatakan Iraq bebas daripada sebarang sekatan transit melalui Hormuz, dan data penghantaran pada Ahad menunjukkan sebuah kapal tangki membawa minyak mentah Iraq melalui selat itu.
Namun, masih belum jelas sama ada lebih banyak kapal akan mengambil risiko itu, kata sumber rapat dengan isu tersebut.
Kenaikan kuota OPEC+ Mei adalah sama seperti yang dipersetujui lapan anggota pada April dalam mesyuarat terakhir mereka pada 1 Mac, ketika perang mula mengganggu aliran minyak.
Sebulan kemudian, gangguan bekalan minyak terbesar dalam sejarah dianggarkan mengurangkan sehingga 12 hingga 15 juta tong sehari atau sehingga 15 peratus daripada bekalan global.
Harga minyak boleh melonjak melebihi AS$150 (RM604), paras tertinggi sepanjang masa jika aliran melalui Selat Hormuz terus terganggu hingga pertengahan Mei, menurut JPMorgan pada Khamis.
OPEC+ mengumpulkan 22 anggota termasuk Iran. Dalam beberapa tahun kebelakangan, hanya lapan negara yang terlibat dalam keputusan pengeluaran bulanan,dan sejak 2025 mereka mula menamatkan pengurangan pengeluaran yang dipersetujui sebelum ini untuk mendapatkan semula bahagian pasaran.
Lapan anggota itu menaikkan kuota pengeluaran kira-kira 2.9 juta tong sehari dari April 2025 hingga Disember 2025, sebelum menghentikan kenaikan bagi Januari hingga Mac 2026.
Mesyuarat lapan anggota seterusnya dijadualkan pada 3 Mei.










