OSLO: Penjaga gol Moldova, Cristian Avram mendedahkan Erling Haaland sempat memohon maaf kepadanya selepas gawangnya dibolosi sebanyak 11 kali ketika tunduk 1-11 kepada Norway dalam aksi kelayakan Piala Dunia.
Bintang Manchester City itu menjadi pemusnah utama apabila meledak lima gol, manakala Felix Horn Myhre, Martin Odegaard serta pemain gantian, Thelo Aasgaard turut menambah derita Avram apabila masing-masing mencatat nama selaku penjaring.
Lebih memilukan, Haaland dilihat tidak pernah berpuas hati walaupun pasukannya sudah mendahului selesa, sebaliknya kerap berlari ke dalam gawang Avram untuk mengambil bola bagi memburu lebih banyak jaringan.
Namun, selepas perlawanan, penyerang berusia 24 tahun itu menunjukkan rasa hormat apabila datang secara peribadi menemui Avram.
“Dia kata itu bukan salah saya. Dia minta maaf kerana agak tergesa-gesa selepas setiap kali menjaringkan gol.
“Dia jelaskan mereka terpaksa terus menekan kerana perbezaan jaringan amat penting,” kata Avram.
Kemenangan besar itu menyaksikan Norway kini gah di puncak kumpulan dengan kelebihan enam mata ke atas Itali, selain mengumpul perbezaan 16 gol lebih baik berbanding juara Eropah itu.
Selepas mengharungi lima daripada lapan perlawanan, Norway dilihat berada pada landasan terbaik untuk menamatkan penantian sejak 1998 untuk kembali beraksi di pentas Piala Dunia.
Juara kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026, manakala pasukan di tempat kedua perlu mengharungi aksi play-off. – AGENSI