PETALING JAYA: Semua pihak diminta agar tidak mengeruhkan keadaan atau mencetuskan ketegangan susulan keputusan mahkamah berkaitan isu Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri najib Razak yang diputuskan semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan wajar ditangani dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan memandangkan situasi semasa yang sensitif, selain menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman.
Katanya, Kerajaan Madani kekal berpegang kepada prinsip pengasingan kuasa dan menegaskan bahawa badan kehakiman mesti terus bebas daripada sebarang pengaruh luar.
“Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim.
“Maka, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim, termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini .
Najib perlu menghabiskan baki hukuman penjara atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. di Penjara Kajang dan bukannya di rumah.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching semalam memutuskan Titah Adendum yang membenarkan Najib untuk menghabiskan baki hukumannya di rumah sebagai tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan. – UTUSAN










