Trump berkeras mahu 'rampas' Greenland dari Denmark - Utusan Malaysia

Trump berkeras mahu ‘rampas’ Greenland dari Denmark

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencetuskan ketegangan diplomatik dengan Denmark apabila menegaskan AS ‘perlu memiliki Greenland dengan alasan keselamatan negara, susulan pelantikan Gabenor Louisiana, Jeff Landry sebagai utusan khas ke wilayah Artik itu.

Trump berkata, Greenland amat penting bagi perlindungan nasional AS dan mendakwa negara itu tidak mempunyai pilihan selain memastikan kawalan ke atas pulau berkenaan.

Beliau turut menyatakan Landry akan “memimpin usaha” sebagai utusan khas, meskipun jawatan itu tidak memerlukan kelulusan rasmi kerajaan Denmark.

Pelantikan tersebut menimbulkan kemarahan Copenhagen, dengan Kementerian Luar Denmark mengumumkan akan memanggil duta AS bagi mendapatkan penjelasan, sambil menegaskan tindakan itu mencabar kedaulatan Denmark sebagai sebuah negara beraja yang merangkumi Denmark, Kepulauan Faroe dan Greenland.

Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen, menegaskan wilayah itu berhak menentukan masa depannya sendiri dan sebarang kerjasama dengan AS hanya boleh dilakukan atas dasar saling menghormati. Menurutnya, integriti wilayah Greenland mesti dihormati sepenuhnya.

Trump, yang kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu, turut menyatakan kebimbangannya terhadap kehadiran kapal China dan Russia di perairan berhampiran Greenland, sambil menegaskan kepentingan pulau itu lebih kepada keselamatan strategik berbanding kekayaan mineral.

Greenland, yang mempunyai kira-kira 57,000 penduduk, menikmati pemerintahan sendiri sejak 1979, namun urusan pertahanan dan dasar luar masih di bawah Denmark. Walaupun sebahagian besar rakyatnya menyokong kemerdekaan penuh daripada Denmark, tinjauan pendapat menunjukkan penolakan besar-besaran terhadap idea menjadi sebahagian daripada AS.

Kesatuan Eropah (EU) turut menyatakan solidariti penuh terhadap Denmark dan rakyat Greenland, ketika pemerhati antarabangsa melihat langkah Trump itu sebagai kesinambungan cita-citanya untuk memperluas pengaruh AS di Hemisfera Barat, khususnya dalam konteks persaingan strategik yang semakin sengit di rantau Artik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN