NEWCASTLE: Arsenal bangkit penuh dramatik di St. James’ Park apabila jaringan lewat Gabriel Magalhaes memastikan kemenangan 2-1 ke atas Newcastle, sekali gus menghidupkan semangat memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Gol pada minit ke-96 itu menjadikan pemain pertahanan Brazil sebagai wira tidak diduga selepas Mikel Merino terlebih dahulu menyamakan kedudukan bagi The Gunners.
Kemenangan tersebut melonjakkan Arsenal ke tangga kedua liga, hanya dua mata di belakang pendahulu Liverpool yang tewas mengejut kepada Crystal Palace sehari lebih awal.
Arteta menegaskan kejayaan di stadium yang sering menghantui mereka sebelum ini membuktikan betapa kuatnya semangat dan tekad barisan pemainnya musim ini.
Bagi Newcastle pula, kegagalan mengekalkan kelebihan sehingga dibolosi di hujung permainan membuatkan mereka kekal di tangga ke-15 dengan hanya satu kemenangan daripada enam perlawanan.
Arsenal kini percaya inilah musim terbaik untuk menamatkan penantian panjang menjulang trofi EPL selepas tiga tahun berturut-turut sekadar berpuas hati di tempat kedua. – AGENSI