SEOUL: Dua individu ditahan manakala seorang kapten feri disiasat selepas sebuah feri terkandas di kawasan berbatu di perairan barat daya Korea Selatan.
Kesemua 267 penumpang dan anak kapal feri Queen Jenuvia 2 diselamatkan selepas ia tersangkut berhampiran pulau tidak berpenghuni, Jogdo, berdekatan Pulau Jangsan di Daerah Shinan pada Rabu.
Seramai 27 penumpang mengalami kecederaan ringan akibat hentakan ketika feri berkenaan terkandas.
Pengawal pantai memberitahu mereka sudah menahan jurumudi dan pembantu pertama bagi dakwaan kecuaian serius sehingga menyebabkan kecederaan.
Pada mulanya, jurumudi mendakwa kemalangan berlaku akibat kerosakan stereng, namun kemudian mengaku dia sedang menggunakan telefon dan terlepas titik pertukaran haluan.
Feri tersebut kini berlabuh di sebuah pelabuhan berhampiran dan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi menentukan punca sebenar kejadian.
Beberapa penumpang turut berkongsi pengalaman mereka secara langsung di media sosial.
“Tiba-tiba terdengar dentuman kuat, kemudian feri senget.
“Pengumuman meminta semua memakai jaket keselamatan, jadi kami memakainya dan menunggu di dek atas,” kata seorang penumpang seperti dilaporkan agensi berita Yonhap.
Feri seberat 26,000 tan itu dalam perjalanan menuju ke Mokpo selepas berlepas dari pulau peranginan Jeju, menurut pegawai.
Kawasan kejadian terletak berhampiran lokasi tragedi feri Sewol yang tenggelam pada 2014, mengorbankan lebih 300 orang, kebanyakannya pelajar sekolah. -AGENSI










